Cadangan Trump Ambil Alih Gaza Zalim, Penghapusan Identiti Hina Kedaulatan Palestin – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyifatkan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang berhasrat mengambil alih Gaza dan mengusir rakyat Palestin ke negara jiran bertujuan untuk menjajah negara itu.

Setiausahanya, Nurul Syifaa Mohd Ridzwan Goh berkata ia adalah satu bentuk kezaliman dan penghapusan identiti bangsa Palestin dan penghinaan terhadap kedaulatan mereka.

“Cadangan ini bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, tetapi melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen Geneva,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata sebagai negara yang selama ini teguh memperjuangkan hak rakyat Palestin, Malaysia tidak boleh berdiam diri wajar bertindak tegas dan segera.

Nurul Syifaa juga merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra di atas kelantangan yang disuarakan di dalam Dewan Parlimen sambil mengharapkan agar Malaysia menghantar Nota Bantahan Diplomatik kepada Amerika Syarikat sebagai tanda ketegasan kita dalam menolak cadangan jahat ini.

Tegasnya lagi, Puteri UMNO juga tidak akan berdiam diri dan akan terus bersuara bersama seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia dalam mempertahankan Palestin hingga merdekanya negara tersebut.

“Puteri UMNO menyeru seluruh masyarakat antarabangsa untuk kekal menolak sebarang usaha penjajahan moden yang bertopengkan diplomasi.

“Dunia mesti bangkit menentang kezaliman ini dengan menjaga hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka kerana ini bukan sesuatu yang boleh ditawar-menawar.

“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa besar yang merancang menindas rakyat Palestin demi kepentingan mereka sendiri,” ujar beliau.

Terdahulu, Donald Trump kelmarin berikrar bahawa Amerika Syarikat akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain, satu langkah yang bakal ‘menghancurkan’ dasar berdekad-dekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.

Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Washington. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit