Cadangan AS Ambil Alih Gaza Harus Dikutuk Sekeras-Kerasnya – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 7 Feb – Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh Malaysia dan dunia.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal dan juga langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik.
“Cadangan Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil alih dan mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza tidak dapat diterima sama sekali dan harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh Malaysia serta dunia.
“Ini adalah satu tindakan yang tidak masuk akal kerana jelas ia adalah langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik tanpa menggunakan senjata atau peperangan.
“Sikap dan tindakan Trump ini sama seperti krisis pengusiran penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur oleh Israel sejak 1950-an dan juga semasa peperangan pada tahun 1967 di mana baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis serta Semenanjung Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berpandangan bahawa tindakan tersebut telah melanggar undang-undang antarabangsa dan ia perlu dihentikan segera.
“Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus dihentikan dengan segera. Tindakan mereka ini sudah melanggar undang-undang antarabangsa. Ini adalah soal kemanusiaan, sampai bila kita mahu melihat rakyat Palestin diusir dan dibunuh di tanah mereka sendiri?
“Amat malu jika AS, sebuah negara yang mahukan keamanan di Asia Barat dan sering menyokong hak asasi manusia, tetapi kini sedang giat mahu mengusir penduduk Gaza,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa dunia khususnya negara Islam perlu bangkit untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Seharusnya pentadbiran AS menyalurkan dana dan sumbangan bagi membantu membangunkan infrastruktur asas seperti hospital dan sekolah di Palestin akibat peperangan yang berpanjangan.
“Dunia khususnya negara Islam perlu bangun dan bangkit menentang kegilaan ini. Penyelesaian kekal untuk isu ini hanya satu, berikan hak rakyat Palestin. Usah biar Palestin lenyap daripada peta dunia,” katanya lagi.
Pada Rabu media melaporkan Donald Trump, berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain – satu langkah yang bakal ‘menghancurkan’ dasar berdekad-dekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.
Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Washington.
Pengumuman berkenaan menyusuli satu lagi cadangan ‘menggemparkan’ daripada Trump sebelum itu – memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal – sambil memanggil Gaza sebagai ‘tapak perobohan.’ – UMNO Online