TVET: Kerajaan Komited Beri Akses Pendidikan, Peluang Untuk Pelajar SPM – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan komited memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti diberi kepada semua lapisan masyarakat khususnya pelajar lepasan SPM.

Beliau yang juga Presiden UMNO untuk itu menyeru para pelajar dan ibu bapa agar merebut peluang pendidikan disediakan kerajaan termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing.

“Selain laluan akademik konvensional, pelajar juga mempunyai peluang luas untuk meneroka TVET yang sejajar dengan minat dan kecenderungan masing-masing.

“Di Malaysia, terdapat 1,398 institusi TVET, merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri. Ekosistem TVET yang dinamik dan luas ini menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa.

“Peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET. UP_TVET Flexi, yang dibuka sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing. UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga mahir luar bandar, kementerian turut menyediakan pelbagai program TVET yang menepati keperluan industri negara.

Menurut Ahmad Zahid sebanyak 280 institusi di bawah KKDW, termasuk MARA, KEMAS, JAKOA, PERDA, KEDA, RISDA dan KETENGAH, menawarkan 529 program dari peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa.

“Kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya. Kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencapai 98 peratus pada tahun 2024, membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga mampu membentuk masa depan yang lebih cerah.

“Tamatnya SPM bukanlah penamat – ia adalah permulaan kepada satu fasa baharu dalam kehidupan. Kini, tibalah masanya untuk para pelajar menentukan hala tuju masa depan, sama ada dalam pendidikan tinggi atau bidang kerjaya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit