Malaysia Beri Tumpuan Usaha Tingkat Perdagangan, Pelaburan Intra-ASEAN – Mohamad

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Malaysia akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersiap-siaga sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia bersiap-siaga sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan. Semestinya ini merupakan peluang yang berharga buat Malaysia untuk meningkatkan profil dan imej negara, di samping memperlihatkan kepimpinan dan keupayaan Malaysia sebagai Pengerusi yang berkaliber.

“Tahun 2025 merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan kali terakhir adalah pada tahun 2015. Tema yang dipilih iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ merupakan panduan utama Malaysia dalam mengemudi ASEAN. Tema ini, antara lain, menekankan pentingnya dialog dan kerjasama terangkum, mampan bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman serta stabil.

“Ini akan membolehkan segala aspek kelangsungan hidup diteruskan dengan memastikan tiada siapa yang ketinggalan di samping menangani cabaran geopolitik dan ekonomi yang mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah pada sesi soal jawab di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan bahawa Malaysia telah menggariskan tiga keutamaan kepengerusian iaitu meliputi aspek keselamatan, ekonomi dan promosi komuniti.

“Malaysia akan memberi tumpuan kepada meningkatkan usaha memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa. Ini akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi, dengan berlandaskan prinsip Kepusatan ASEAN.

“Dari segi ekonomi, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah serta memperluas perkongsian ekonomi dengan rakan-rakan di luar rantau ini.

“Ini termasuk menerajui usaha untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), di mana kedua-duanya direka untuk memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa usaha akan dilakukan untuk merapatkan jurang pembangunan di samping menangani impak perubahan iklim bagi manfaat ekonomi kepada rakyat.

“Malaysia juga akan mempromosikan sebuah komuniti yang inklusif, mampan, dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan serta menangani impak perubahan iklim.

“Ini dilakukan supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di rantau ini, termasuk kumpulan rentan. Perkara ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan rakyat, serta aspirasi ASEAN dalam membentuk sebuah komuniti yang berpaksikan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit