Kenaikan Tarif AS: Kerajaan Ambil Langkah Proaktif, Eratkan Hubungan Perdagangan – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam mengekalkan dan mengeratkan hubungan perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat supaya tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang berlaku kepada China, Kanada dan Mexico.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar untuk tahun 2024.
“Malaysia dan Amerika Syarikat telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1957. Sehingga kini, kedua-dua negara mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang harmoni serta progresif.
“Bagi tahun 2024, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar, dengan jumlah perdagangan mencatat RM324.9 bilion, bersamaan 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
“Eksport ke Amerika Syarikat berjumlah RM198.6 bilion, bersamaan 13.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala import dari Amerika Syarikat pula mencapai RM126.3 bilion, bersamaan 9.2 peratus daripada jumlah import Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Abd Rahman Ku Ismail di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai rakan dagang dan pelaburan yang boleh dipercayai oleh semua rakan dagangnya.
“Dari segi pelaburan pula, Amerika Syarikat adalah antara pelabur terbesar dan sehingga kini, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan pelaburan untuk lebih 600 syarikat Amerika.
“Sehubungan dengan ini, kerajaan sedang berusaha mengambil langkah proaktif dalam mengekalkan dan mengeratkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan dua hala yang baik juga dinamik dengan Amerika Syarikat supaya tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang berlaku kepada China, Kanada serta Mexico.
“Selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara dagang dan pendekatan tidak memihak menjadi amalan Malaysia dalam menangani perang dagang antara Amerika Syarikat dengan negara-negara lain yang juga penting buat Malaysia, kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai rakan dagang serta pelaburan yang boleh dipercayai oleh semua rakan dagangnya termasuklah Amerika Syarikat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan risiko kesan negatif kepada prestasi eksport semikonduktor adalah minima buat masa ini.
“Berdasarkan rekod, nilai keseluruhan eksport barangan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM1.508 trilion, hampir 40 peratus daripada export keseluruhan barangan daripada Malaysia.
“Daripada jumlah eksport electical and electronic (E&E) ini pula, sebanyak RM387 bilion atau 64 peratus adalah produk semikonduktor. Pada tahun 2024, pasaran ke Amerika Syarikat adalah di dalam kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport daripada Malaysia.
“Pada masa ini kenaikan tarif yang dikenakan adalah kepada beberapa negara tidak termasuk Malaysia. Oleh itu, kementerian berpandangan risiko kesan negatif kepada prestasi eksport semikonduktor adalah minima buat masa ini,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, Malaysia juga telah menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Amerika Syarikat berkaitan ketahanan rantaian bekalan (MOC on Semiconductor Supply Chain Resilience) pada 10 Mei 2022.
“Selain itu, rekod pelaburan juga menunjukkan pelaburan dari Amerika Syarikat masih kukuh dan merupakan antara pelabur terbesar, suku ketiga 2024, jumlahnya adalah sebanyak RM5.1 bilion.
“Malaysia juga telah menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Amerika Syarikat berkaitan ketahanan rantaian bekalan (MOC on Semiconductor Supply Chain Resilience) pada 10 Mei 2022. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memastikan rantaian bekalan semikonduktor yang kukuh dan berdaya tahan, serta memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik antara Malaysia – Amerika Syarikat.
“Justeru, kementerian yakin pelabur-pelabur sedia ada daripada Amerika Syarikat akan kekal berada di Malaysia dan terus berkembang bagi memperkukuhkan rantaian bekalan global mereka,” katanya lagi. – UMNO Online