BN Sabah: Komited, Berwawasan Dan Pilihan Terbaik Rakyat – Ir Aziz Julkarnain
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Komitmen Barisan Nasional (BN) Sabah adalah memperjuangkan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan ikutan politik, kata bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain.
Jelasnya, hubungan erat BN Sabah dengan Kerajaan Persekutuan turut memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
“BN Sabah telah membuktikan keupayaannya dalam membangunkan negeri ini melalui ‘track rekod’ yang jelas, memastikan rakyat menikmati pembangunan infrastruktur, pendidikan berkualiti, serta peluang pekerjaan yang lebih luas. Kestabilan politik yang dicapai semasa BN mengemudi kerajaan negeri dan Persekutuan telah menarik pelaburan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah.
“BN Sabah memastikan membasmi kemiskinan, menyediakan rumah mampu milik, menaik taraf infrastruktur, dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
“Keutamaan BN Sabah bukan sekadar memastikan kestabilan politik, tetapi juga memperjuangkan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepaada UMNO Online.
Mengulas lanjut, kata Ir Abdul Aziz, sejarah telah membuktikan bahawa politik perpecahan di kalangan parti-parti tempatan hanya merugikan rakyat dan menyebabkan Sabah kehilangan banyak haknya.
“BN Sabah menolak politik sempit yang hanya berorientasikan parti tempatan, kerana pemimpin BN Sabah sendiri adalah anak Sabah yang mengutamakan kemajuan negeri.
“Sabah perlu terus berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, bukan sekadar terperangkap dalam politik yang bersifat tempatan semata-mata.
“BN Sabah kekal sebagai pilihan terbaik untuk masa depan negeri ini. Dengan kepimpinan yang berpengalaman, berwawasan, dan komited kepada rakyat, BN Sabah akan terus memastikan Sabah maju, makmur, dan dihormati di persada nasional,” tambah beliau.
Pada masa yang sama kata Ir Abdul Aziz lagi, parti serius dalam memperjuangkan isu Borneosasi dengan memastikan pelaksanaan yang menjadi keutamaan pembangunan di negeri ini.
“BN Sabah serius dalam isu Borneosasi, memastikan projek pembangunan dilaksanakan oleh tenaga kerja tempatan, serta memperkasakan penyertaan Sabah dalam sektor strategik seperti minyak dan gas serta teknologi digital.
“Komitmen BN Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetap teguh. Ini adalah hak rakyat Sabah yang perlu dikembalikan, seperti yang diperjuangkan sejak pentadbiran BN terdahulu,” ujarnya. – UMNO Online