Ahli Parlimen Perlu Tunjuk Tingkah Laku Baik, Contoh Untuk Generasi Akan Datang
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff menggesa agar ahli-ahli Parlimen akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya berhemah dalam perbahasan di Parlimen.
Beliau yang juga
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) berkata, kesemua ahli Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang perlu menunjukkan tingkah laku yang baik supaya menjadi contoh untuk generasi akan datang.
“Rakyat semakin jemu dan kecewa serta bosan dengan sikap ahli Parlimen kita yang bergelar Yang Berhormat menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat memaki hamun dan menjerit-jerit dalam perbahasan dan kelakuan ini harus dihentikan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Mohd Yusoff, titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah satu arahan kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti pembangkang atau kerajaan supaya mengamalkan budaya politik matang kerana kesemua mereka adalah mewakili rakyat dan bertaraf Yang Berhormat dari kawasan masing-masing.
Katanya, jika pemimpin atau wakil rakyat menunjukkan teladan yang buruk maka generasi akan datang juga akan menganggap Dewan Rakyat adalah tempat untuk bertengkar dan tidak menghormati dewan yang dianggap mulia dan memberi apa-apa faedah untuk rakyat.
“Seri Paduka bertitah Parlimen adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran serta kestabilan negara. Parlimen seharusnya menjadi dewan perbahasan yang memberi idea-idea konstruktif dan bukannya tempat pertelingkahan yang membuang masa kerana ia melibatkan kos dan wang rakyat yang banyak,” ujar beliau.
Mohd Yusoff dalam pada itu turut menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya Ahli Parlimen tidak mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan yang ditubuhkan atas perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah tiada satu parti pun yang menjadi majoriti pada pilihan raya ke-15.
“Parti komponen Pakatan Harapan telah bergabung dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan manakala Perikatan Nasional pula memilih untuk menjadi pembangkang dan bertanggungjawab untuk semak dan imbang, maka kedua-dua pihak haruslah memainkan peranan dengan professional dan bukannya bertengkar sehingga menjerit-jerit dalam Dewan Parlimen,” katanya lagi.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari dengan menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari bermula Isnin baru-baru ini dan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac. – UMNO Online