SKBBK Mekanisme Perlindungan Sosial Tangani Cabaran Risiko Pekerja

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kementerian sentiasa cakna dengan perubahan lanskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia kesan daripada perkembangan digitalisasi.

Menurut beliau pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja terutama bagi pekerja yang terlibat dengan FWA.

“Kementerian berhasrat untuk melaksanakan SKBBK yang akan ditadbir oleh Perkeso dalam memastikan liputan perlindungan 24 jam sehari dalam tempoh tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.

“SKBBK meliputi kemalangan yang tidak terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaan dan tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.

“Skim yang dicadangkan akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia di luar waktu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN) yang meminta KESUMA menyatakan mekanisme pelaksanaan SKBBK untuk melindungi individu terjejas dengan kemalangan di luar pekerjaan dan sejauh manakah skim ini dapat menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja susulan peningkatan aturan kerja anjal oleh majikan di Malaysia.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata secara prinsipnya, Mesyuarat Kabinet telah bersetuju agar KESUMA melaksanakan SKBBK melalui Perkeso yang telah mengadakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh.

Menurut beliau ia bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan cadangan pelaksanaan SKBBK bersama wakil dari pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

“KESUMA menjangkakan Rang Undang-Undang bagi skim ini akan dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen pada tahun ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit