Sekolah Patriotik UMNO Bukti Keprihatinan Kepada Kepimpinan Muda – Mohamad Fadil

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menzahirkan penghargaan pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas sokongan dalam merealisasikan penubuhan Sekolah Patriotik UMNO, baru-baru ini.

Menurut beliau, penubuhan ini membuktikan keprihatinan pemimpin UMNO terhadap pembangunan pemimpin muda parti.

“Jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa mendengar denyut nadi akar umbi kerana tanpa sokongan dari beliau tidak mungkin penubuhan Sekolah Patriotik ini dapat direalisasikan.

“Setinggi-tinggi penghargaaan perlu diberi kepada insan-insan yang menjadi tulang belakang bagi merealisasikan penubuhan Sekolah Patriotik UMNO dan semoga matlamat penubuhan sekolah ini akan dapat dicapai,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Fadil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban berharap generasi muda perlu mengambil peluang dalam dunia politik.

“Generasi muda hari ini perlu mengambil ruang dan peluang bagi mempelajari sedikit sebanyak ilmu politik yang akan diajar oleh mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam arena ini.

“Sekolah Patriotik UMNO yang mengajar mengenai kepentingan politik merupakan satu usaha yang amat baik bagi membentuk kesedaran dikalangan belia mengenai suasana politik hari ini yang semakin mencabar dan dinamik berbanding 30 tahun dahulu,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, langkah strategik UMNO dalam memperkukuhkan parti merupakan satu inisiatif bagi melahirkan pemimpin yang progresif, berwawasan dan berjiwa rakyat.

“Politik bukan sekadar retorik tetapi memerlukan ilmu, strategi dan keberanian. Ia akan melahirkan ramai pemimpin yang progresif, berwawasan dan berjiwa rakyat.

“Dengan platform ini dapat melihat kebangkitan anak muda khususnya dari pemimpin UMNO yang lebih agresif, cerdas, dinamik dan kompetitif,” ujarnya.

Dengan adanya Sekolah Patriotik, parti dapat menghantar mesej yang jelas kepada rakyat bahawa mereka bukan sekadar parti politik biasa tetapi sebuah institusi kepimpinan yang sentiasa bersedia untuk menerajui masa depan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit