Kerajaan Komited Tegakkan Kedaulatan Undang-Undang Dan Lindungi Pemberi Maklumat – Azalina

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Kerajaan menegaskan komitmennya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan kebebasan institusi perundangan negara terus terpelihara.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pemberi maklumat berhak mendapat perlindungan di bawah Akta 711, selagi mereka mematuhi prosedur yang ditetapkan dengan melaporkan sebarang salah laku kepada mana-mana agensi penguatkuasaan, tanpa mengira individu yang terlibat.

“Kami terus memperkukuh perlindungan bagi memastikan keadilan ditegakkan dan pada masa sama mengalu-alukan cadangan penambahbaikan berasaskan amalan terbaik di peringkat global,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facbooknya.

Beliau turut menegaskan kepentingan untuk memastikan undang-undang sedia ada terus dihormati dan dipatuhi bagi mengekalkan sistem keadilan yang telus serta berintegriti.

Semalam dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO memaklumkan bahawa tiada cadangan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan umum terlebih dahulu sebelum membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu dan boleh diberikan perlindungan berdasarkan justifikasi tertentu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit