Ahli Tinggalkan Parti, Awang Aslee Berpegang Pesan Presiden ‘Biar Sedikit Yang Penting Setia’

BEAUFORT, 5 Feb – Berikutan tular menerusi media sosial tentang seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort dan 52 orang ahli meninggalkan parti dan memilih pihak lawan, Ketua Bahagian terbabit, Datuk Awang Aslee Lakat menekankan bahawa kesetiaan sebahagian besar ahlinya tetap kukuh.

Dalam hal ini beliau berpegang kepada kata-kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu ‘biarlah sedikit ahli UMNO, yang penting mereka setia pada perjuangan parti’ selain kata Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ‘tugas kita dalam parti hanya berjuang dan terus berjuang, soal kejayaan biar Allah yang tentukan.’

Katanya, walaupun UMNO Beaufort pernah menerima tekanan yang begitu hebat, namun kesetiaan sebahagian besar ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti terutamanya ketua-ketua cawangan tetap utuh ibarat rambut yang tersimpul mati dalam perjuangan mereka.

“Ini terbukti apabila kita berjaya mengangkat Datuk Siti Aminah Acing sebagai Ahli Parlimen UMNO/BN Beaufort dalam PRU15 yang lalu,” ujarnya yang mengulas berkaitan hal terbabit, hari ini.

Dalam hal ini Awang Aslee melahirkan rasa kagum dan terharu dengan pengorbanan beberapa pemimpin UMNO bahagian yang dilucutkan jawatan dalam lantikan kerajaan negeri lantaran kekal dalam UMNO dan enggan memberikan sokongan kepada pihak lawan.

“Saya amat kagum dan terharu dengan kesetiaan pada parti yang telah ditunjukkan oleh Saudara Lanie Baha, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort merangkap Ketua PDM Tempurong yang telah ditamatkan perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi JKKK Kampung Tempurong baru-baru ini.

“Kemudian ditawarkan semula jawatan baru dengan syarat utama mengisi borang keahlian parti mereka terlebih dahulu. Namun atas dasar perjuangan dan maruah diri, Saudara Lanie telah menolak tawaran ini, terbaik saudaraku.”

Mengulas mengenai ahli yang meninggalkan UMNO, Awang Aslee menyatakan bahawa UMNO Beaufort telah berhadapan dengan situasi sedemikian sejak zaman penubuhannya di Sabah.

Beliau menyebut bahawa tiga bekas Ketua Bahagian, iaitu Datuk John Ghani (Mantan Senator dan ADUN Kuala Penyu, Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin (mantan Ahli Parlimen Beaufort dan Timbalan Menteri Persekutuan), dan Datuk Isnin Aliasnih (ADUN Klias dan Pembantu Menteri), pernah meninggalkan parti.

“Pada tahun 2018, lebih tiga perempat jawatankuasa bahagian yang menang ketika itu juga meninggalkan UMNO Beaufort, namun saya bersama Ag. Damit Jion dan Abd. Rahman Mohd. Yakub @ Elul kekal setia dalam perjuangan parti.

“Mari kita imbas kembali sejarah perjuangan UMNO Beaufort. Sejarah perjuangan saya dalam UMNO di Beaufort ini bermula sejak zaman penaja lagi iaitu mula-mula UMNO bertapak di Sabah.”

“Untuk Cikgu Fadliezan Tingan dan 52 orang rakannya seperti yang diperkatakan, saya mengucapkan selamat maju jaya pada kamu semua di sana. Bagi kami di Beaufort ini… UMNO ‘will survive’.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit