Sesi Pre-Council BN: Kesatuan Dan Strategi Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa kesatuan dan strategi yang mantap menjadi keutamaan dalam memastikan BN kekal relevan serta berperanan dalam kerajaan.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO mearangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam tempoh 25 bulan lalu, BN bukan sahaja memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi juga menjadi tonggak kestabilan negara.

 

Namun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan masa lalu bukan jaminan kejayaan masa depan, justeru BN perlu terus bergerak ke hadapan dengan strategi yang berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin, dengan kesepakatan yang jitu dan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur, BN akan terus mara sebagai gabungan yang kukuh, relevan, dan sentiasa mendahulukan rakyat serta negara,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Semalam beliau telah meluangkan masa bersama ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dalam sesi ‘pre-council’ bersempena dengan pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Kelima Belas.

Jelas Ahmad Zahid, sesi tersebut diadakan bertujuan memperkukuhkan kesatuan serta menetapkan hala tuju BN bagi sidang Parlimen kali ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari, yang menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari mulai 4 Feb.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit