UMNO Prihatin Rakyat, Jeffery Nor Santuni Mangsa Banjir Di Sabah
Putatan, 3 Feb – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, turun padang menyantuni mangsa banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini dalam usaha untuk memberikan sokongan dan meringankan beban mereka.
Semalam, beliau melawat enam keluarga di Kampung Lok Kawi Baru yang terkesan akibat banjir kilat dan menyerahkan sumbangan bagi membantu mereka mengharungi saat sukar ini.
Kemudian, Jeffery Nor ke Dewan PPR Keramat untuk bertemu empat keluarga yang ditempatkan di sana sementara menunggu keadaan banjir kembali surut dan pulih.
“Saya doakan mereka dapat kembali ke rumah masing-masing,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, berkaitan hal terbabit.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan merangkap yang juga Pengerusi FELCRA Balingian Sdn Bhd turut merakamkan penghargaan kepada warga FELCRA dan ahli jawatankuasa bahagian yang turut serta dalam usaha kebajikan ini.
Jeffery Nor turut memaklumkan bahawa beliau akan meneruskan lawatan ke Kota Marudu dan Ranau untuk menyantuni mangsa banjir serta banjir lumpur di kawasan berkenaan yang dijadualkan berlangsung hari ini.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita dalam membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Dalam kesibukan bersama-sama mangsa banjir, Jeffery Nor turut hadir ke program ‘Back to School’ di sebuah pasar raya di Putatan dengan seramai 60 anak-anak menerima kelengkapan sekolah hasil sumbangan pelbagai pihak.
“Terima kasih kepada Puan Eyra dan pasukannya yang telah membantu memastikan kelengkapan sekolah ini dapat disediakan untuk anak-anak kita,” katanya.
Dalam acara lain, Jeffery Nor turut menghadiri program FELCRA Madani Santuni Rakyat di Dewan Masyarakat Papar yang memberi manfaat kepada hampir 200 orang, termasuk pihak PIBG sekolah, masjid, dan surau di kawasan berkenaan.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi serta pasukannya yang telah berjaya melaksanakan program ini.
Katanya, usaha turun padang sebegini adalah langkah proaktif dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. – UMNO Online