UMNO Bahagian Beaufort Perkukuh Jentera Hadapi PRN Sabah Ke-17
BEAUFORT, 3 Feb – UMNO Bahagian Beaufort kini giat memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata persediaan ini penting bagi memastikan kekuatan jentera parti terus mantap dan relevan dalam mendepani cabaran politik semasa.
Ujarnya, ini termasuklah memanfaatkan teknologi maklumat (IT) terkini serta mempererat hubungan dengan masyarakat pelbagai lapisan di kawasan tersebut.
“Kita akan menggunakan pendekatan lebih menyeluruh, bukan sahaja dari segi teknologi tetapi juga sentuhan secara langsung dengan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort yang pertama bagi sesi 2025 baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian (TKUB), Naib Ketua UMNO Bahagian (NKUB), Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Beaufort Tuan Haji Osin Haji Jilon, Setiausaha Bahagian (SUB), Ketua Penerangan, serta hampir semua ahli jawatankuasa dan ahli mesyuarat.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa pelantikan baharu turut disahkan dengan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru, Mahali Lakat; Timbalan Ketua PDM Menumbok, Ahmad Said; Ketua PDM Melampai, Impui Ujih; dan Ketua PDM Kebulu, Minin mengangkat sumpah sebagai ahli mesyuarat bahagian yang baharu dilantik.
Awang Aslee menegaskan bahawa UMNO Beaufort akan terus berusaha memastikan kesediaan jentera parti berada pada tahap terbaik bagi menghadapi PRN ke-17, demi kejayaan dan kestabilan politik di kawasan itu.
Sebelum itu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat pertama Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort bagi sesi 2025.
Dalam mesyuarat tersebut, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat dalam kalangan parti komponen bagi memastikan jentera BN berada dalam keadaan bersedia dan efisien dalam menghadapi PRN ke-17.
“Perjuangan BN di Bahagian Beaufort telah mengalami transformasi dan adaptasi dengan situasi politik yang semakin mencabar dan dinamik.
“Kita perlu bersama-sama turun ke bawah untuk memastikan sentuhan kita dengan rakyat dapat dirasai supaya BN sentiasa berada di hati mereka,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi MCA Beaufort, Yong Kee Siew; Timbalannya Loo Chee Ming serta ahli jawatankuasa yang lain. – UMNO Online