Kekalkan Kestabilan Demi Kemakmuran Negeri Melaka – Rais

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin melihat sambutan Tahun Baru Cina pada setiap tahun melambangkan keharmonian serta perpaduan yang menjadi tunjang kestabilan di negeri itu.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baru Cina 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Melaka (DPPCM) seterusnya berpandangan keharmonian yang ada pada hari ini perlulah ditingkatkan sebaiknya.

“Sambutan Tahun Baru Cina pada setiap tahun bukanlah sekadar hanya perayaan, tetapi menjadi melambangkan perpaduan, keharmonian, dan kemakmuran yang menjadi tunjang kestabilan negeri Melaka.

“Inilah yang perlu kita tingkatkan dan kekalkan demi kemakmuran malah apa yang diusahakan selama ini untuk kepentingan rakyat negeri ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau seterusnya menambah usaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Melaka dalam penganjuran majlis seumpama itu diharap memberi manfaat untuk semua pihak.

“Saya berbesar hati hadir pada malam ini mewakili YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka ke Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baru Cina 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Melaka (DPPCM).

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Presiden DPPCM, Datuk Son Tong Leong, bersama barisan Exco dan Pengarah DPPCM atas kesudian mengalu-alukan kehadiran saya ke majlis penuh meriah ini. Pastinya sukar dinafikan peranan DPPCM yang telah lama menyumbang dalam usaha memperkukuhkan ekonomi serta jalinan hubungan komuniti perniagaan dan perindustrian khususnya di Melaka,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan barisan kepimpinan DPPCM dan juga wakil kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka yang lain. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit