Himpunan Rakyat Benci Rasuah Dirancang Pihak Tertentu – Ahmad Tarmizi

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang berlaku baru-baru ini adalah himpunan ‘budak-budak baru nak up’, kata Exco Pemuda UMNO, Ahmad Tarmizi Che Age.

Katanya, perkara ini nampak seperti dirancang oleh satu pihak untuk menerapkan kebencian kepada pemimpin dengan menggunakan nada ‘benci rasuah’ sehingga dilihat agak biadap yang mencerminkan kemerosotan akhlak dan budaya hormat dalam masyarakat.

“Seharusnya pelajar pengajian tinggi lebih peka terhadap isu-isu yang berlaku di dalam kampus dan bukan menjadi alat kepada mana-mana parti politik seperti pada perhimpunan itu.

“Akhirnya perhimpunan itu membawa pergaduhan kepada persatuan pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi yang sehingga ke hari ini di laman media sosial dan terbawa kepada kerosakan ukhwah di platform bukan maya.

“Bangsa akan jatuh apabila belia tidak memperjuangkan akhlak dan jati diri. Himpunan jalanan bukanlah satu solusi yang baik yang perlu diterapkan kepada minda mahupun jiwa setiap pelajar, apatah lagi himpunan tersebut dijalankan 90 peratus di bawah kuasa mahupun ‘citarasa’ pihak mahasiswa mahupun mahasiswi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Kata beliau lagi, pemimpin dikalangan mahasiswa perlu bijak mencari solusi kepada masalah, dan menjadi pemimpin yang mempunyai visi dan misi.

“Seharusnya pemimpin dikalangan mahasiswa harus bijak mencari solusi kepada permasalahan, menjadi pemimpin yang mempunyai visi dan misi serta matlamat yang jelas untuk memperjuangkan hak-hak mahasiswa namun disalahgunakan.

“Bukan sahaja mempunyai kemampuan berkomunikasi yang berhemah, kecerdasan dan kebijaksanaan dalam mengawal emosi tapi mempunyai keberanian dan ketegasan yang tidak mudah untuk di manipulasi. Tidak hanya bertutur malah mempunyai kemampuan untuk mendengar dan tidak memberontak melalui medium murahan.

“Pemimpin yang adil dan tidak bias, akhirnya dapat mencipta seorang pemimpin hebat dan bertanggungjawab bagi pihak pelajar-pelajar dan akhirnya menjadi seorang pemimpin yang hebat untuk lapisan masyarakat akan datang,” katanya.

Tambah beliau lagi, sewajarnya mahasiswa yang terlibat dalam himpunan tersebut harus mengikuti Sekolah Patriotik UMNO agar menjadi pemimpin yang berkaliber.

“Sekolah Patriotik UMNO yang dikendalikan UMNO Malaysia adalah satu solusi yang membawa kepada pelapis pemimpin politik matang dan melahirkan pemimpin  berkaliber serta berkemampuan tinggi untuk menerajui generasi pelapis akan datang,” ujarnya.

Seterus kata beliau lagi, Islam menekankan kepatuhan dan penghormatan kepada pemimpin selagi mereka tidak menyuruh dan memaksa kepada kemungkaran.

“Seharusnya belia mahasiswa perlu bijak dalam menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan kepimpinan bukan menjadi suara kepada sestengah pihak sehingga menampakkan kurang cerdik,” katanya lagi.

dalam hal ini beliau memetik firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa ayat yang ke 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul, dan Ulil Amri (pemimpin) diantara kamu.

“Baginda SAW bersabda wajib bagi setiap muslim mendengar dan taat dalam perkara yang ia suka ataupun tidak suka, kecuali jika ia diperintahkan untuk melakukan maksiat. (Bukhari dan Muslim).” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit