Ahmad Zahid Junjung Kasih Titah Agong, Tekankan Keamanan Dan Kestabilan Negara
KUALA LUMPUR, 3 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.
“Seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku, adalah penting untuk semua memperkukuh keamanan dan menjaga kestabilan negara dengan memastikan Parlimen berfungsi sebagai platform semak dan imbang terhadap pentadbiran negara,” katanya menerusi kenyataan dalam hantaran Facebooknya.
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim turut menyeru agar Ahli Parlimen menjadi benteng perpaduan dan bukannya ejen perpecahan rakyat.
“Patik sekalian menjunjung titah seperti yang disarankan,” ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Ahmad Zahid turut menjunjung kasih atas keprihatinan Baginda Tuanku terhadap usaha Kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing melalui pemerkasaan sistem pendidikan, termasuk Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Insya-Allah, usaha memperkasa TVET akan terus diangkat sebagai agenda nasional, selaras dengan hasrat baginda.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan – Visit Malaysia Year 2026 (VM2026), kami akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan budaya serta nilai murni Malaysia di peringkat antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor pelancongan.
“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sentiasa dikurniakan kesejahteraan, dilanjutkan usia, serta dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. Menjunjung kasih, Tuanku.”
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 18 hari dengan menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari bermula 4 Feb dan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb. – UMNO Online