Pemulihan Gaza: Puad Bidas Rafidah

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menimbulkan persoalan apakah media salah lapor terhadap pendirian bekas menteri kabinet Tan Sri Rafidah Aziz mengenai usaha kerajaan Malaysia membantu membangunkan semula Gaza.

Tegas Mohd Puad, jika benar kenyataan daripada Rafidah, ia tidak wajar dan melampau.

“Ini bukan soal kera di hutan disusui, anak dikendong mati kelaparan. Usaha Malaysia ini bukan baru. Ia sudah berjalan sejak zaman Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Rafidah tahu kerana dia menteri ketika itu.

“Apakah masa itu apabila kita bantu Palestin maka pembangunan dalam negara dianak tirikan? Lapan dekad Palestin dizalimi. Sekolah, hospital dan masjid dibangun dan diruntuh berulang kali oleh regim zionis. Maka apakah kali ini kita akan kata, lantak kamulah Palestin!,” kata Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Mohd Puad lagi, apabila Acheh dibadai tsunami semua negara kecil-besar, miskin-kaya termasuk Malaysia datang memberi bantuan.

“Itu namanya kemanusiaan. Kerajaan boleh sahaja minta korporat dan NGO (badan bukan kerajaan) turut bekerjasama.

“Rafidah kata nak membangunkan Gaza bagaimana? Status tanah pun masih ada pertikaian. Kenapa naif? Tidakkah bumi Palestin diceroboh dan dirampas oleh Zionis Israel?,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit