Sambutan Tahun Baharu Cina Jadi Asas Perpaduan Dan Kemajuan Komuniti – Mohd Zaidy
JEMPOL, 31 Jan – Semangat perpaduan dan keharmonian terus disemarakkan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan meraikan bersama-sama sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.
Baru-baru ini beliau telah mengadakan program ‘walk about’ penyerahan kotak limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang melibatkan komuniti di Kampung Baru Bukit Pilah dan Kampung Baru Tanah Panjis, Rompin.
Turut hadir dalam program ini ialah barisan kepimpinan MCA dan masyarakat setempat, yang bersama-sama menyerahkan kotak limau sebagai simbolik kepada rezeki, kemakmuran, dan sokongan kepada komuniti Tiong Hua di kawasan ini.
“Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam program ini mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kepada pembangunan komuniti yang harmoni,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa keharmonian dan perpaduan merupakan asas penting yang menyokong kemajuan masyarakat.
“Limau yang kita sampaikan ini bukan sahaja simbol rezeki dan kemakmuran, tetapi juga tanda keprihatinan serta sokongan kita kepada masyarakat Tiong Hua di sini. Saya yakin, dengan semangat kebersamaan ini, kita akan terus maju bersama sebagai sebuah keluarga besar yang harmoni,” katanya.
Beliau juga berharap agar sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membawa keberkatan, kebahagiaan, dan kejayaan kepada semua lapisan masyarakat.
“Gong Xi Fa Cai kepada semua. Semoga sambutan ini memperkukuh lagi hubungan silaturahim antara kita dan menjadi pemangkin kepada kejayaan bersama,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, program seperti ini menjadi bukti bahawa nilai perpaduan dan keharmonian bukan sahaja diraikan semasa perayaan tetapi dipraktikkan dalam kehidupan seharian, sekali gus memperkukuh hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia. – UMNO Online