Majlis Ulama UMNO Minta Pimpinan Kerajaan Lebih Sensitif Mengenai Islam
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Majlis Ulama UMNO meminta pimpinan kerajaan, terutamanya menteri bukan Islam, untuk lebih berhati-hati dalam memberi ulasan berkenaan isu-isu Islam dan umat Islam.
Katanya, ia bagi mengelakkan persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk memprovokasi sensitiviti agama, seperti yang berlaku dalam isu penggunaan logo Halal Jakim palsu pada Ham & Cheese Sandwich dan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim di Ipoh, Perak.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Majlis Ulama UMNO menegaskan pentingnya setiap pihak dalam kerajaan untuk memahami dan menghormati sensitiviti umat Islam, supaya tidak memberi ruang kepada pihak luar untuk menggugat keharmonian masyarakat.
“Kerajaan Perpaduan yang UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi antara tonggaknya telah berjaya memperkasakan lagi Islam sehingga mekar dan subur sebagai kesinambungan usaha kerajaan-kerajaan terdahulu khususnya UMNO dan BN dalam membangunkan Islam di negara ini sejak merdeka.
“Kerajaan Perpaduan ini adalah model terbaik untuk mewujudkan perpaduan antara kaum di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.”
Sehubungan itu, katanya, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan diminta untuk mengekalkan keharmonian dan menghormati sensitiviti pelbagai kaum.
Majlis Ulama UMNO turut menegaskan komitmennya untuk terus menyuburkan agama Islam di negara ini, sambil mempertahankan prinsip-prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu, serta hak istimewa orang Melayu. Prinsip-prinsip ini, menurut mereka, adalah asas yang dijunjung dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini. – UMNO Online