Jualan Kasih Sempena Tahun Baharu Cina 2025 Semarakkan Semangat Perpaduan
KULAI, 31 Jan – Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 disemarakkan dengan pelbagai cara sebagaimana di Dewan Undangan Negeri Bukit Permai dengan acara Jualan Kasih yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, memaklumkan bahawa acara yang dilaksana Sabtu lalu di kawasan letak kenderaan Pejabat ADUN Bukit Permai, turut menarik kehadiran masyarakat setempat dari pelbagai latar belakang.
Beliau yang juga ADUN Bukit Permai, berkata bahawa acara ini bukan hanya sekadar merayakan Tahun Baharu Cina, tetapi juga sebagai platform untuk mengeratkan hubungan kekitaan dan semangat tolong-menolong dalam kalangan penduduk setempat.
“Jualan Kasih ini diharap dapat memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat, selain memberikan peluang kepada semua untuk meraikan Tahun Baharu Cina dengan penuh makna dan kasih sayang.
“Acara Jualan Kasih ini diadakan untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, sambil merayakan semangat perpaduan yang melangkaui sempadan bangsa dan agama,” katanya.
Dalam kesempatan tersebut, beliau juga menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di Malaysia, terutamanya di Johor dan kawasan DUN Bukit Permai, Kulai.
Beliau berharap agar tahun 2025 membawa semangat perpaduan yang lebih kukuh serta kebahagiaan kepada semua.
Terdahulu, dalam acara jualan tersebut, pelbagai barangan keperluan harian dijual pada harga yang berpatutan. – UMNO Online