Sekolah Patriotik UMNO: Platform Politik Awal Untuk Tarik Generasi Muda – Haryaty Hamdzah
KUALA LUMPUR, 30 Jan – Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah menyifatkan penubuhan Sekolah Patriotik UMNO sebagai satu inisiatif penting untuk mendekatkan generasi muda kepada UMNO serta memahami perjuangan dan jasa parti secara menyeluruh.
Menurut beliau, usaha ini seharusnya dimulakan lebih awal lagi bagi memastikan generasi muda didedahkan kepada asas politik yang kukuh.
“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan sepatutnya dilakukan dari awal lagi. Dengan penubuhan sekolah ini diharapkan akan lebih ramai generasi-generasi muda yang boleh diberikan ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang perjuangan parti.
“Dengan pendedahan asas awal politik, generasi muda boleh mengikuti serta menjadi ahli parti yang lebih serius dan masa yang sama dapat memperkasakan partisipasi kaum wanita terutamanya generasi muda untuk melahirkan ramai pemimpin di kalangan wanita.
“… dan sekolah patriotik ini boleh melahirkan ramai pemimpin pelapis dimasa akan datang yang tidak terhad dikalangan kaum lelaki saja tetapi kaum muda wanita. Selagi ada ramai pelajar-pelajar wanita di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), seramai itu UMNO untuk menarik lebih ramai lagi partisipasi wanita muda Melayu untuk terlibat dalam parti ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka harap sekolah patriotik ini mempunyai satu jabatan khusus untuk membuat kajian secara khusus berkaitan perjuangan parti.
“Sejak kekalahan UMNO lalu, parti ini telah mengalami defisit kepercayaan dikalangan rakyat Malaysia dan kini adalah ‘tunning point’ untuk sekolah patriotik mengambil satu langkah kajian khusus pendekatan baharu demi kelangsungan perjuangan.
“Pendekatan parti terutamannya bagi generasi akan datang dengan menggunakan teknologi semasa serta pemahaman khusus tentang sejarah parti yang cukup banyak membangunkan negara dan bangsa amat penting,” jelas beliau.
Pada masa yang sama juga Haryaty memohon sekolah patriotik ini tidak terhad kepada ahli parti sahaja tetapi terbuka.
“Saya mohon agar sekolah patriotik ini tidak terhad kepada ahli parti saja dan ia boleh terbuka serta dapat menyediakan kursus-kursus pendek kepada generasi muda yang berminat untuk mengetahui politik UMNO dan semasa,” katanya lagi. – UMNO Online