Pemimpin Perlu Mengenepikan Perbezaan Politik Untuk Berkhidmat Kepada Rakyat – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 30 Jan – Pemimpin diingatkan agar mengenepikan perbezaan politik demi berkhidmat kepada rakyat, seru Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata amanah dan mandat daripada rakyat perlu dilaksanakan tanpa mengira parti politik atau agama.

“Sebagai ahli politik, kita tidak boleh mempunyai warga yang berbeza-beza. Soal menang banyak atau menang sedikit itu perkara kedua.

Yang penting, apabila menang sebagai Ahli Parlimen atau ADUN, kita perlu menjaga kepentingan semua.

“Rakyat, tanpa mengira parti politik, agama, kaum, ataupun perbezaan budaya dan bahasa, perlu diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan RC di Simpang Empat, Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Dewan tersebut dibina oleh seorang ahli perniagaan kelahiran Bagan Datuk, M. Nagaraja, 69, yang juga seorang peniaga cendol sejak 47 tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata pemimpin perlu terus menyantuni rakyat di kawasan mereka, termasuk golongan muda, sama yang bekerja di kawasan sendiri atau berada di luar negara. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit