Tiada Halangan MBI Kaji Larangan Jual Arak Di Kawasan Orang Islam – Saarani

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Kerajaan negeri Perak mengambil berat polemik yang timbul termasuk dalam kalangan parti politik susulan cadangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk meluaskan larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata pihaknya telah mendapat maklum balas daripada pihak MBI yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.

“Kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/ peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983.

“Kajian yang dilaksanakan akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035,” katanya.

Menurut beliau lagi, MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Malah katanya kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada.

“Oleh itu, pada peringkat ini, perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan publik, sebaliknya semua pihak sewajarnya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit