Sekolah Patriotik UMNO Penting Untuk Pengundi Muda, Fahami Politik Semasa – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pendidikan politik yang berstruktur boleh memberikan pemahaman yang lebih jelas dan mendalam mengenai sistem politik, dasar-dasar kerajaan dan peranan UMNO dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat, kata Exco Wanita UMNO, Dr Masliha Harun.

Jelasnya, Sekolah Patriotik UMNO yang diwujudkan adalah peluang untuk mendidik dan melibatkan mereka secara langsung dalam proses politik agar dapat membuat keputusan yang lebih bijak dan bertanggungjawab.

Katanya, pengundi muda yang pertama kali mengundi sering kali terdedah kepada pelbagai maklumat yang boleh mengelirukan atau memanipulasi pendapat mereka.

“Pengundi muda sering kali terdedah kepada persepsi negatif terhadap politik, seperti rasuah atau janji kosong. Sekolah Patriotik UMNO dapat membantu membentuk pemimpin muda yang berintegriti dan memahami tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

“Mereka boleh belajar tentang demokrasi, pilihan raya dan peranan mereka sebagai pengundi dalam memilih pemimpin yang tepat. Pemahaman ini penting agar mereka tidak hanya menjadi pengundi yang terikut-ikut atau dipengaruhi oleh faktor luar yang tidak relevan.

“Keterlibatan ini akan meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu-isu yang relevan dan cara-cara untuk memberi kesan positif kepada negara. Mereka dapat diberi latihan dalam pelbagai aspek kepimpinan, dari pengurusan kempen hingga pembangunan dasar, serta cara-cara untuk menggerakkan sokongan daripada komuniti,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional berkata Sekolah Patriotik UMNO boleh menjadi saluran untuk mendorong pengundi muda terlibat lebih aktif dalam politik, bukan sekadar sebagai pengundi sekali-sekala.

“Ia menyediakan platform untuk pengundi muda memahami bukan sahaja tentang UMNO tetapi juga tentang sistem politik Malaysia secara keseluruhan.

“Ini juga dapat menggalakkan pengundi muda untuk mengutamakan nilai dan kualiti pemimpin yang sebenar bukan hanya memilih berdasarkan populariti atau propaganda,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, Sekolah Patriotik UMNO juga turut menjelaskan secara mendalam tentang sejarah dan perjuangan UMNO.

“Ia boleh menjadi platform untuk menjelaskan tentang bagaimana UMNO berperanan dalam memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera, serta bagaimana dasar-dasar parti ini berhubung dengan pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial,” jelas beliau.

Pada masa yanga sama kata Dr Masliha lagi, generasi muda kini berhadapan dengan cabaran dunia digital yang penuh dengan maklumat dan desakan sosial.

“Sekolah Patriotik UMNO juga dapat mengajar mereka cara untuk menilai maklumat dengan lebih kritis, terutama dalam menghadapi fenomena ‘fake news’ atau manipulasi media sosial yang kerap terjadi dalam konteks politik.

“Dengan memberi pengundi muda peluang untuk mendalami politik secara lebih serius dan kritikal, Sekolah Patriotik UMNO berpotensi untuk membentuk generasi pemimpin dan pengundi yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan bertanggungjawab.

“Ini bukan hanya menguntungkan UMNO sebagai parti, tetapi juga meningkatkan kualiti demokrasi di Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit