Ruang Pertemuan Dimanfaat, Soal Masa Depan Parti Jadi Keutamaan – UMNO Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pertemuan dua hala antara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan memberi ruang seluas-luasnya untuk komunikasi dua hala dalam usaha mengukuhkan UMNO dipelbagai peringkat.

Perkara ini dikongsikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang berpandangan perjumpaan berkenaan diadakan memberi peluang untuk melihat pelbagai aspek berkaitan isu-isu yang melibatkan soal keahlian dan sebagainya lagi.

“Perjumpaan bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Biro Keahlian & Perlembagaan UMNO Malaysia di Royale Chulan Seremban merupakan pertemuan yang cukup baik dan kami manfaatkan ruang pertemuan ini untuk kami melakukan sesi komunikasi dua hala bersama Naib Presiden.

“Saya dan AJK Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut mempelawa Pengerusi-Pengerusi Biro Keahlian & Perlembagaan pelbagai peringkat untuk turut bersama dalam sesi ini. Selain daripada isu-isu semasa, kami juga membincangkan banyak perkara yang melibatkan survival parti keramat ini dari pelbagai sudut,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jalaluddin seterusnya menambah turut diperbincangkan adalah usaha dan langkah seterusnya dalam memperkasakan lagi parti terutama untuk berdepan dengan pilihan raya nanti.

“Turut diperdebatkan adalah bagaimana membawa parti ini dalam mendepani pilihan raya yang akan datang. Antara isu yang turut disebutkan semasa perjumpaan ini adalah berkaitan cadangan meningkatkan had umur Pergerakan Puteri UMNO dan kaedah pemilihan pucuk pimpinan UMNO. Yang pastinya, dua cadangan ini bukan untuk mencari kelemahan, sebaliknya bagi meletakkan parti ke suatu kedudukan yang lebih kuat dan hebat.

“Dikesempatan ini saya turut membawa mesej kepada pucuk pimpinan parti bahawa UMNO Negeri Sembilan akan terus gerak bersama bagi menguatkan kedudukan parti. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit