Himpunan Diperalat… Kenapa Tak Bawa Sepanduk Pemimpin Pembangkang Yang Terpalit Rasuah?
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurfazreen Elyana Muhamad Zailan menyifatkan mahasiswa yang hadir pada himpunan Sabtu lalu dijadikan sebagai alat politik kepada segelintir pihak.
Menurut beliau yang juga Biro Mahasiswa, ini kerana peserta himpunan mengisytiharkan diri mereka sebagai anti rasuah yang juga memperlihatkan mereka anti kepada pemimpin UMNO/BN.
Namun kata Nurfazreen lebih menghairankan apabila peserta himpunan tersebut tidak membawa sepanduk pemimpin pembangkang lain yang juga terpalit dengan rasuah.
“Dikatakan mahasiswa anti rasuah memang benci betul dengan rasuah. Mereka ini mungkin alat kepada parti yang berkepentingan politik yang anti kepada UMNO, BN dan GRS
“Sebab kalau kita tengok di video mereka membawa sepanduk gambar Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tun Musa Aman dan beberapa lagi dari politik.
“Tapi yang peliknya kenapa mereka tak bawa gambar Syed Saddiq? Gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi lah hal politik yang ada masalah rasuah.
“Jadi dekat sini kita tengok, mereka ni mungkin dibayar awal sebab kalau kita fikir balik, mahasiswa ini semua dah balik kampung nak sambut Tahun Baru Cina tapi takkanlah mereka sanggup hadir,” katanya menerusi hantaran video Instagram.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka dalam pada itu turut menyeru mahasiswa yang hadir pada himpunan itu untuk bersikap rasional kerana penglibatan mereka dalam demonstrasi seperti ini tidak memberikan sebarang kesan.
Sebaliknya kata Nurfazreen sebarang penyelesaian boleh dilakukan menerusi perbincangan bagi membawa suara mahasiswa.
“Adik-adik, sekarang ni sudah tahun 2025. Kita dah tak payah dah nak berguling tengah jalan mogok di tengah jalan di Dataran Merdeka, depan Sogo.
“Tak payah buat sesak kepala, buat sesak jalan, tak payah… baik kita duduk bincang cari penyelesaian anak muda, bakal pemimpin pada masa akan datang macam mana kita nak hilangkan kes-kes rasuah di Malaysia,” ujar beliau.
Media pada Sabtu melaporkan Himpunan Anti Rasuah dilakukan di Dataran Merdeka, dianggarkan disertai 200 orang peserta yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Pro-Mahasiswa. – UMNO Online