Sekolah Patriotik UMNO Platform Anak Muda Fahami Ideologi Parti – Aliff Hilmi
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi berpandangan Sekolah Patriotik UMNO adalah inisiatif strategik yang dianjurkan oleh Majlis Pengkaderan dan Latihan UMNO Malaysia, dengan sokongan Biro Pengkaderan dan Latihan di peringkat sayap parti.
Katanya, tujuan utamanya adalah untuk melahirkan generasi muda yang berjiwa patriotik, berprinsip dan memiliki daya kepimpinan yang tinggi.
“Inisiatif ini adalah platform penting bagi anak muda untuk memahami ideologi parti, menghayati sejarah perjuangan bangsa dan memperkukuh semangat juang dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
“Ini merupakan satu langkah positif yang tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman oleh mana-mana pihak, termasuk rakan-rakan politik dari parti lain.
“Objektif sekolah ini adalah semata-mata untuk melahirkan generasi pemimpin yang bertanggungjawab, matang dan mempunyai rasa cinta kepada negara. Ia bukan bertujuan untuk mencetuskan perpecahan atau menanam kebencian terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bukit Bendera percaya bahawa politik yang matang adalah setiap parti mampu bersaing secara profesional tanpa mengorbankan nilai-nilai demokrasi yang menjadi tunjang perpaduan.
“Inisiatif ini adalah manifestasi kesungguhan UMNO dalam memperkukuhkan demokrasi dan memastikan setiap generasi muda memahami peranan mereka sebagai pemimpin yang berpegang kepada prinsip, berdaya saing secara sihat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat serta negara di tempat teratas.
“Semoga Sekolah Patriotik UMNO terus menjadi simbol kesungguhan UMNO dalam melahirkan pemimpin muda yang berkaliber dan membawa impak positif kepada perjalanan politik parti serta negara.
“Kita semua bertanggungjawab memastikan UMNO terus relevan, berperanan besar, dan menjadi teras kepimpinan negara dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa, dan tanah air,” jelasnya lagi.
Seterusnya beliau turut merakamkan penghargaan kepada Biro Pengkaderan dan Latihan Pemuda UMNO Fikhran Hamsi Mohamad Fatmi dan Mohamed Khairul Azman Abd Azeez yang menjayakan inisiatif ini.
“Kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini, khususnya kepada Exco Pemuda UMNO yang mengendalikan Biro Pengkaderan dan Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi dan Mohamed Khairul Azman.
“Usaha gigih kalian telah merealisasikan aspirasi parti untuk membentuk generasi pewaris yang bukan sahaja setia kepada perjuangan UMNO tetapi juga bersemangat patriotik demi masa depan negara,” ujarnya. – UMNO Online