Sekolah Patriotik UMNO Langkah Tepat – Rozabil
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman melihat langkah parti mewujudkan Sekolah Patriotik UMNO tepat pada masanya.
Bagi beliau yang turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO, ianya adalah salah satu usaha untuk memperkukuh semangat cinta kepada agama, bangsa dan tanah air.
“Sekolah Patriotik UMNO hadir sebagai platform mendidik generasi muda tentang nilai-nilai patriotisme, kesetiaan kepada negara, dan kepentingan perpaduan rakyat.
“Melalui program ini, peserta bukan sahaja diajar mengenai sejarah, perjuangan bangsa, dan asas-asas kenegaraan, tetapi juga diasah untuk memiliki semangat kepimpinan yang tinggi, keberanian dalam bersuara, dan jati diri yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau seterusnya menambah UMNO percaya bahawa generasi muda adalah pewaris masa depan negara.
“Untuk memastikan kesinambungan perjuangan agama,bangsa, dan negara, anak muda hari ini perlu dipersiapkan dengan ilmu, nilai murni, dan rasa tanggungjawab yang tinggi.
“Sekolah Patriotik UMNO berperanan membentuk minda dan hati generasi muda agar mereka menjadi pemimpin yang tidak hanya berilmu, tetapi juga berjiwa besar.
“Terima kasih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Datuk Seri Wan Rosdy, Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi MPL di atas kepercayaan melantik saya sebagai Ahli Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO.
“Insya-Allah, amanah ini akan saya galas dengan sebaik mungkin bagi membantu parti melahirkan kader-kader dengan daya tahan, daya juang dan daya saing yang tinggi demi pembangunan negara bangsa yang lebih gemilang,,” ujarnya. – UMNO Online