Sekolah Patriotik UMNO Platform Bangkitkan Semangat Perjuangan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO perlu perkukuh semula kesatuan dalam parti dan kembali kepada asas perjuangannya untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sekolah Patriotik UMNO dan Kuliyyah Perdana iaitu institusi pengkaderan yang menghimpunkan 50 peserta sebagai landasan untuk membina semula kekuatan parti dalam perjuangan.
Dalam hal ini Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah menggariskan tiga elemen penting yang perlu dimiliki oleh setiap ahli UMNO untuk mengembalikan dominasi parti, iaitu daya tahan, daya juang, dan daya saing.
“Pengukuhan dan kesatuan ini perlu berpunca daripada kombinasi antara aspek duniawi dan ukhrawi, fizikal dan rohaniah. UMNO dilahirkan daripada roh perjuangan, dan kita perlu membina semula roh tersebut untuk membawa perjuangan parti ke mercu kejayaan,” ujarnya.
Ahmad Zahid juga menekankan bahawa kekuatan UMNO terletak pada sokongan ahli akar umbi.
“Kedudukan kita di atas adalah hasil ketaatsetiaan dan sokongan dari akar umbi. Hebatnya kita sebagai pemimpin adalah kerana adanya organisasi yang menyokong,” katanya.
Beliau turut menyeru ahli parti agar terus berjuang dan tidak membiarkan UMNO terkubur hanya kerana kebencian segelintir individu.
“Ini bukan penghujung perjuangan kita. Saudara-saudari adalah patriot yang akan menjulang semula nama UMNO. Kita perlu bina semula roh UMNO dan memastikan ia terus menjadi dominan.”
Dengan komitmen untuk membangkitkan semula semangat perjuangan parti, beliau menyeru agar generasi lama dan baharu saling menghormati demi membawa UMNO ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.
“UMNO harus menjadi lebih baik bukan hanya di peringkat kepimpinan, tetapi juga di akar umbi. Dengan daya tahan, daya juang dan daya saing, kita mampu membawa perubahan,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO.
Selain itu, kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said; dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, menyerlahkan semangat perpaduan dalam kalangan pemimpin parti. – UMNO Online