Kukuhkan Parti, Lipatgandakan Perjuangan Untuk Rakyat – UMNO Tangga Batu

KUALA LUMPUR, 25 Jan – UMNO Bahagian Tangga Batu bertekad bukan sahaja untuk mengukuhkan lagi gerak kerja sedia ada malah akan terus melipatgandakan lagi perjuangan kepentingan masyarakat setempat.

Perkara ini disuarakan Ketuanya, Datuk Rais Yasin bersama ahli jawatankuasa bahagian yang lain pada mesyuarat pertama bagi tahun 2025 yang diadakan malam tadi.

Bagi Rais, selain gerak kerja parti sudah pastilah kebajikan rakyat akan menjadi keutamaan yang akan terus dilipatgandakan dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, malam semalam saya telah mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tangga Batu Bil. 1/2025 dengan bersemangat untuk menghadapi tahun 2025. Sebelum itu, kita telah mengadakan Majlis Tahlil Arwah buat sahabat-sahabat yang terdahulu pergi meninggalkan kita.

“Selaku Ketua UMNO Bahagian, mesyuarat ini amat penting dalam merancang dan menyelaras program-program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2025.

“Bersama-sama, kami tekad untuk memperkukuhkan gerak kerja, memperjuangkan kebajikan rakyat, dan memastikan aspirasi perjuangan parti terus direalisasikan demi kesejahteraan rakyat di kawasan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnya penuh yakin dengan komitmen pelbagai pihak azam berkenaan dapat direalisasikan sebaiknya.

“Dengan iltizam dan komitmen yang kukuh, saya percaya kita mampu membawa UMNO Tangga Batu ke tahap yang lebih gemilang,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit