Tiada Unsur Pecah Amanah Dalam Dana SRC – Hasnal Rezua
KUALA LUMPUR, 24 Jan – UMNO Selangor telah menyelesaikan sesi pemeriksaan saksi plaintif ketiga dalam kes melibatkan SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB). Saksi ketiga yang dipanggil ialah Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.
Dalam sesi pemeriksaan balas, Peguam UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, bersama Peguam UMNO Shahrul Fazli Kamarulzaman, menyoal balas saksi bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan plaintif.
Menurut Hasnal Rezua, hasil pemeriksaan balas menunjukkan bahawa wang yang diterima oleh UMNO Selangor tidak pernah dimaksudkan untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti yang didakwa oleh pihak plaintif.
“Plaintif mendakwa bahawa wang ini sepatutnya digunakan untuk CSR. Mereka menyatakan UMNO sebagai parti politik tidak wajar menerima dana ini kerana UMNO bukan sebuah entiti yang menjalankan kerja-kerja CSR.
“Terdapat catatan daripada SRC International yang mendakwa pembayaran kepada UMNO Selangor dibuat melalui Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk tujuan CSR, namun perkara itu disifatkan sebagai tidak benar.
“Dana yang diterima daripada SRC International adalah sumbangan politik yang diberikan secara telus dan jujur. Namun peguam mereka menekankan bahawa sumbangan ini tidak berkait dengan kerja-kerja CSR yang dijalankan oleh Ihsan Perdana,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Dalam keterangan saksi, plaintif turut mendakwa bahawa pembayaran kepada UMNO Selangor dilakukan melalui proses yang melibatkan syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd. Namun, peguam UMNO menolak dakwaan bahawa proses itu tidak sah.
“UMNO telah mengambil pendirian bahawa dana ini adalah untuk tujuan politik. Ia berasingan daripada aktiviti CSR yang dilakukan oleh Ihsan Perdana dan untuk aktiviti yang dijalankan oleh UMNO sendiri,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kata Hasnal lagi, menyatakan bahawa keterangan saksi-saksi dari SRC International, GMSB, dan JPSB membuktikan tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam transaksi yang berlaku.
“Kami telah berjaya mendapatkan keterangan daripada saksi bahawa wang yang diterima bukanlah hasil pecah amanah, penyelewengan, atau pelanggaran tanggungjawab dalam syarikat.
“Saksi mengesahkan bahawa pembayaran kepada UMNO Selangor dilakukan melalui proses yang telus dan tidak melanggar undang-undang,” ujarnya.
Kes ini terus menarik perhatian umum, dengan UMNO Selangor mempertahankan bahawa dana yang diterima adalah sumbangan politik yang sah dan tidak berkait dengan dakwaan plaintif mengenai CSR. – UMNO Online