Tarik Wanita Muda Dan Perkasakan Lagi Media Sosial – Puteri UMNO Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Puteri UMNO Negeri Sembilan bertekad untuk meneruskan kesinambungan pelbagai program yang telah diatur baik di peringkat negeri mahupun bahagian dalam usaha memperkasakan lagi parti di negeri berkenaan.
Ketuanya, Hazratul Ilani Misdar berkata begitu juga soal media sosial yang perlu diperkasakan selain kepelbagaian program dalam usaha untuk menarik golongan wanita muda sekaligus penambahan ahli Puteri UMNO.
“Puteri UMNO Negeri Sembilan terus bertekad untuk membawa naratif yang sama dengan hasrat Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Jalaluddin Alias supaya media sosial diperkasa dan program untuk menarik wanita muda ditambah dari semasa ke semasa.
“Kepelbagaian langkah dan pelbagai bentuk program amat penting kerana ianya akan memastikan keserasian pelbagai peringkat sedia ada sekaligus dapat memperkasakan lagi wanita muda dari semas ake semasa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut berkongsi pandangan daripada Jalaluddin beberapa hari lalu yang menekankan beberapa aspek penting untuk terus bergerak ke depan.
“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan telah mengadakan sesi perbincangan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pada 22 Januari 2025. Ini merupakan salah satu pendekatan yang dibawa oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam memastikan setiap pergerakan sayap parti dapat diselaraskan dengan sehabis baik.
“Antara isu yang dibawa semasa perbincangan adalah berkaitan proses penambahan ahli puteri di setiap bahagian, program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan dalam Negeri Sembilan dan pelan pemerkasaan penggunaan media sosial dalam kalangan ahli Puteri.
“Puteri UMNO Negeri Sembilan juga turut memberi beberapa cadangan agar Pengerusi Perhubungan dapat membawa suara wanita muda ini di peringkat lebih tinggi seperti di Dewan Rakyat dan Majlis Kerja Tertinggi,” ujarnya. – UMNO Online