Shahaniza Bidas Pihak Tak Bertanggungjawab Jadikan Masjid Sebagai Pentas Politik

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin membidas tindakan penceramah yang menggunakan platform institusi masjid untuk berpolitik.

Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang, tindakan tersebut adalah bercanggah seperti dititahkan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.

Kata Ketua UMNO Bahagian Maran itu lagi, ia ditambah pula dengan tuduhan oleh penceramah tersebut yang mengatakan kerajaan negeri menarik peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

“Ada orang hantar video kepada saya tentang ceramah di sebuah masjid Felda berkenaan seorang ustaz ini… tak agak-agaklah gamaknya kan, apa benda yang dia cakap tu?

“Pertama, cerita hal politik. Dia tak tahukah Sultan Pahang menitahkan dilarang berpolitik di dalam masjid?

“Kedua ceritanya yang dituduh itu tak betul langsung. Kata menyekat peruntukan, menarik peruntukan. Tak betul… bila pula Menteri Besar menarik peruntukan daripada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN)? Bagi lagi ada… patutnya ucap terima kasih. Ada bukti dah bagi pun, kan?” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Beliau turut sama mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut.

Shahaniza dalam pada itu turut sama menyelitkan video kenyataan daripada pemimpin diperolehi daripada akaun Tiktok ADUN Pas Jengka yang mengakui menerima peruntukan diberikan kerajaan negeri.

“Jadinya janganlah tuduh yang bukan-bukan lepas tu kata kita marah kononnya kalah. Eh tak ada siapa marah… kita pun tahu kita kalah.

“Cumanya walaupun kalah tetap memberi khidmat bukannya bila kalah ini kita diam membisu seribu bahasa.

“Berkhidmat tetap berkhidmat. Bantu rakyat kalah atau menang, kita bukan macam ada orang tu menang hilang lesap entah ke mana,” ujar beliau.

Shahaniza turut sama menyindir penceramah tersebut sama ada mempunyai tauliah ceramah atau tidak untuk mengajar di masjid. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit