Mengenali Karakter Pas… Tunggang Isu Adendum Untuk Kepentingan Parti Mereka

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Pas dilihat cuba untuk menunggang isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi kepentingan parti mereka sendiri.

Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu sudah semestinya memberikan kelegaan kepada ahli, pemimpin mahupun penyokong Najib.

“Keputusan daripada mahkamah hari itu ialah 2-1 dan ia telah memihak kepada Datuk Seri Najib dan beliau boleh proceed untuk perbicaraan seterusnya. Di pihak saya selaku ahli parti, kita berasa bersyukur dan gembira dengan keputusan itu. Tetapi, jauh lagi perjalanan itu sebenarnya.

“Apa yang parti harapkan ialah kebebasan penuh. Memang kita tahu bahawa Titah Adendum itu adalah usaha untuk mendapatkan hukuman tahanan di rumah. Tetapi jauh di hati ini semua, ahli parti ialah nak pastikan beliau dapat kebebasan penuh.

“Begitu juga saya lihat kebijaksanaan kepimpinan UMNO ini yang meletakkan, menyanjung tinggi titah Raja, memberikan sepenuhnya Kebijaksanaan kepada Raja yang mempunyai kuasa untuk menentukan tentang keputusan dalam memberikan kebebasan melalui permohonan baharu untuk Datuk Seri Najib ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka berkata, ahli-ahli dan para penyokong perlu bersikap rasional dan perlu mengikut segala yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

“Tapi dalam masa yang sama kita harapkan ahli-ahli parti terus rasional. Dalam kita menjadi penyokong tegar Datuk Seri Najib, kita gembira dengan keputusan dan memikirkan bahawa menteri-menteri yang ada boleh buat sesuatu tetapi kita jangan lupa bahawa setiap ikut ada prosesnya.

“Proses ini memerlukan setiap daripada kita ini untuk mematuhinya. Negara kita ada perlembagaan dan kuasa pengampunan itu kuasa Raja. Raja-raja ini bukannya rakyat biasa macam kita. Saya percaya, selain kebijaksanaan kepimpinan UMNO itu sendiri, Yang di-Pertuan Agung juga ada pertimbangan, ihsan dan belas kepada rakyat.

“Terutamanya apabila isu permohonan Datuk Seri Najib ini telah membelenggu rakyat sejak sekian lama maka perlu ada juga mungkin titik noktahnya. Ia mampu memberikan Malaysia kepercayaan kepada Perlembagaan dan memberikan keyakinan kepada sistem sedia ada serta menghormati pemimpin yang ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa isu Titah Adendum ini sangat penting dan mampu meninggalkan kesan-kesan tertentu, menyebabkan Pas sangat berminat untuk mencipta naratif di sebaliknya.

“Kehadiran Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada hari himpunan tersebut… kita lihat mereka berduyun-duyun dan saya boleh katakan, betul pada hari itu mungkin dia ada rasa simpati (terhadap Datuk Seri Najib). Tetapi, mengenali karakter Pas, pemimpin-pemimpin yang ada di dalam PN itu yang bukan ‘genuine’ kepada parti dan sebagainya.

“Kita tengok mereka hanya menunggang isu ini untuk kepentingan parti mereka sendiri. Ini kerana mereka tahu isu Titah Adendum ini sangat penting, ianya menjadi tumpuan kepada hal parti atau keluarga Datuk Seri Najib sahaja. Tetapi, ini sudah menjadi kepentingan negara dam mungkin boleh meninggalkan kesan-kesan tertentu, maka itu mereka mengambil kesempatan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau percaya bahawa rakyat tidak akan pernah melupakan bagaimana Pas menggunakan isu Datuk Seri Najib untuk memburukkan beliau sehingga dipenjarakan.

“Walaubagaimanapun kita harus percaya bahawa rakyat tidak lupa bagaimana kepimpinan Pas yang hipokrit… yang bagaimana ketika Datuk Seri Najib memimpin, apa saja yang beliau cuba lakukan, dihentam dan sebagainya, boleh check balik. Ini zaman dunia digital kan, boleh throwback bagaimana kepimpinan Pas menghentam Datuk Seri Najib pada satu ketika dulu.

“Tetapi kali ini, mereka (Pas) memberi seolah-olah sokongan penuh untuk Datuk Seri Najib dan kita tengok, dia lebih bersuara pulak daripada ahli-ahli parti.

“Apa pun, kita sebagai rakyat mahukan kebebasan penuh. Kita tidak tahu sekarang ini Pas dengan PN nak tunggang isu tersebut sejauh mana. Tetapi, di peringkat ahli parti perlu jelas hala tuju dan jangan terkesan dengan sokongan sementara yang konon-konon dibuat mereka untuk isu ini,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Pas tetap meneruskan penyertaannya dalam Himpunan Solidariti Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari lalu biarpun titah Seri Paduka Baginda agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Dalam hal ini, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan sebagaimana tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu media melaporkan Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit