Majalah Dewan Siswa Boleh Jadi Panduan Pembaca Memahami Potensi Besar TVET
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Majalah Dewan Siswa Bil. 02/2025 boleh menjadi panduan terbaik untuk para pembaca memahami potensi besar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa beliau telah dijemput untuk sesi temu bual eksklusif bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membincangkan topik menarik mengenai TVET: Revolusi Belia Berkemahiran Tinggi.
”Dapatkan Majalah Dewan Siswa: TVET Revolusi Belia Berkemahiran Tinggi. Awal tahun ini, saya telah dijemput untuk sesi temu bual eksklusif bersama DBP bagi membincangkan topik menarik mengenai TVET: Revolusi Belia Berkemahiran Tinggi.
“Hari ini, saya berbesar hati menerima naskah Majalah Dewan Siswa Bil. 02/2025, yang telah berada dipasaran bermula hari ini, 24 Januari 2025.
“Saya melihat majalah ini sangat relevan untuk tatapan dan dijadikan rujukan untuk para pelajar. Sasaran khalayaknya juga tertumpu kepada lepasan SPM 2024 yang sedang merancang masa depan mereka, khususnya yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengajak seluruh mengajak para pelajar untuk mendapatkan majalah tersebut dan menjadikannya sebagai rujukan bagi menentukan masa depan yang lebih gemilang.
“Dengan pengisian dan tumpuan khas di dalam 12 muka surat yang padat dengan maklumat berharga, saya yakin majalah ini boleh menjadi panduan terbaik untuk semua pembaca memahami potensi besar TVET dalam melahirkan belia berkemahiran tinggi.
“Majalah Dewan Siswa, dengan tagline ‘Wadah Ilmu Remaja’ dan telah menjadi ‘majalah dalam kelas sejak tahun 1988’ ini juga turut diedarkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang melanggan.
“Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkannya hari ini dan jadikan ianya sebagai sumber inspirasi untuk masa depan anda,” katanya. – UMNO Online