Isu Lembu Liar: Penternak Bebas Perlu Ambil Peluang, Dapatkan Kebenaran Pihak Berwajib

SABAK BERNAM, 24 Jan – Para penternak bebas perlu mengambil peluang diberikan untuk mendapatkan kebenaran pihak berwajib bagi tujuan penternakan lembu yang didaftarkan dalam usaha menangani isu lembu liar.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, ketetapan dan arahan Kerajaan Negeri Selangor melalui kenyataan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail adalah tepat serta wajar.

“Merujuk isu berkenaan lembu liar yang berkeliaran di tempat awam sehingga menggugat dan mengancam keselamatan orang awam, termasuk kes menyebabkan kematian khususnya insiden di Daerah Sabak Bernam.

“Ketetapan dan arahan Kerajaan Negeri Selangor melalui kenyataan Datuk Rizam Ismail, selaku Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna yang juga merupakan ADUN Sungai Air Tawar adalah tepat dan wajar dijadikan duluan baik dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.

“Notis pengusiran yang dikeluarkan oleh pihak SD Guthrie Berhad hendaklah juga dilaksanakan oleh semua pemilik ladang-ladang persendirian untuk memastikan kawalan terhadap lembu liar tidak bertuan yang sah dapat dilaksanakan secara efektif,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor berkata, tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasikan isu tersebut termasuk mengadakan bantahan di luar perkarangan pejabat Setiausaha Kerja Selangor (SUK) Selangor adalah tidak wajar.

“Selaras dengan tindakan bertanggungjawab ini, kerajaan juga telah memberi peluang dan jalan penyelesaian kepada penternak-penternak bebas untuk segera mematuhi semua syarat serta peraturan penternakan yang sedang berkuatkuasa termasuk meletakkan ternakan mereka di tempat dan lokasi yang dibenarkan.

“Tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasi isu ini termasuk tindakan mengadakan bantahan di luar perkarangan SUK Selangor adalah tidak wajar. Seharusnya, pihak-pihak terlibat khususnya penternak bebas perlu mengambil peluang diberikan untuk mendapatkan kebenaran pihak berwajib khususnya Jabatan Veterinar bagi tujuan penternakan lembu yang didaftarkan dan kemudiannya di tempatkan di lokasi dibenarkan.

’He who comes into equity must come with clean hands’: Seseorang yang ingin mendapatkan keadilan perlulah juga berlaku adil kepada yang lainnya dan tidak wajar mendapatkan keadilan dalam kesalahan berterusan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Selangor perlu menguatkuasakan Enekmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 melalui Seksyen 4 (1)(a).

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Selangor perlu menguatkuasakan Enekmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 melalui Seksyen 4 (1)(a) yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa untuk menangkap termasuk menembak lembu-lembu yang tiada kebenaran bertulis (tidak bertuan) yang berkeliaran di kawasan larangan (tempat awam).

“Saya percaya jika semua pihak mengambil tanggungjawab bersama serta mematuhi undang-undang serta kaedah yang telah diperuntukan, isu ini dapat diselesaikan dengan baik serta memberi manfaat dan kebaikan untuk semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit