IPSB Disalahguna Akaunkan Pemberian Wang Kepada UMNO, Ibrahim Ali Enggan Pulangkan Wang Berdolak Dalih
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) terhadap Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor (UMNO Selangor) bersambung pada hari ini.
Saksi ketiga, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman iaitu bekas Pengarah Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) memberi keterangan pada sesi pagi dan saksi keempat, Datuk Ibrahim Ali iaitu Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) memberi keterangan pada sesi petang.
Dr Shamsul semasa pemeriksaan balas oleh peguam UMNO Shahrul Fazli, mengesahkan bahawa IPSB selaku rakan ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) yang dilantik oleh SRC tidak pernah menerima sebarang arahan daripada SRC untuk melaksanakan program-program CSR bagi pihak SRC.
Semasa pemeriksaan balas, Shahrul telah merujuk Dr Shamsul kepada satu “General Ledger JPSB” yang dikatakan adalah dokumen JPSB, mengandungi rekod dan entri pemberian-pemberian wang kepada pelbagai pihak termasuk UMNO dan UMNO Selangor oleh JPSB atas dasar “bayaran CSR bagi pihak IPSB”.
Walaubagaimanapun saksi SRC, Dr Shamsul mengesahkan bahawa kenyataan di dalam “General Ledger JPSB” berkenaan adalah direka, dipalsukan, tidak benar dan menyalahguna nama IPSB untuk mengakaunkan transaksi-transaksi tersebut.
Saksi SRC, Dr Shamsul selanjutnya semasa pemeriksaan balas oleh peguam UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua juga bersetuju dan mengesahkan sekali lagi bahawa entri di dalam “General Ledger JPSB” berkenaan yang merujuk “bayaran CSR bagi pihak IPSB” kepada UMNO dan UMNO Selangor juga adalah palsu.
Lanjutan daripada itu, peguam Shahrul Fazli dan Hasnal memohon untuk merekodkan kenyataan saksi bahawa “General Ledger JPSB” berkenaan adalah dokumen palsu dan seterusnya dibuang daripada rekod mahkamah.
Terdahulu dilaporkan bahawa UMNO dan UMNO Selangor merupakan penerima wang daripada suatu ‘tabung gelap raksasa’ yang kononnya telah diselewengkan atas tujuan CSR.
Sementara itu saksi keempat SRC, Datuk Ibrahim Ali di dalam pernyataan saksinya mengesahkan bahawa beliau hadir untuk memberikan keterangan bagi pihak Plaintif selaku Presiden kepada Parti PUTRA.
Ibrahim Ali selanjutnya mengesahkan kepada mahkamah semasa pemeriksaan balas oleh peguam UMNO, Shahrul bahawa keterangannya di Mahkamah pada hari ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan kes SRC terhadap UMNO dan UMNO Selangor.
Seterusnya Ibrahim dalam kenyataannya pada hari ini mendakwa wang sebanyak RM600,000 yang diterimanya adalah wang yang telah diselewengkan oleh Datuk Seri Najib.
Beliau menambah bahawa Datuk Seri Najib telah tidak berlaku jujur terhadapnya dengan memberikan gambaran bahawa wang tersebut berasal dari akaunnya sendiri, kerajaan atau tabung UMNO.
Semasa ditanya di bawah sumpah mahkamah, Shahrul meminta pendirian Ibrahim untuk memulangkan semula wang RM600,00.00 yang dikatakan wang kotor kepada SRC.
Namun, Ibrahim enggan memberikan pendiriannya untuk memulangkan semula wang berkenaan dan berdolak-dalih.
Perbicaraan kes SRC telah berlangsung sejak Isnin lalu dan pada hari ini, selepas saksi keempat SRC selesai memberikan keterangan, plaintif-plaintif menutup kes. Perbicaraan akan bersambung dengan saksi-saksi UMNO dan UMNO Selangor untuk memberikan keterangan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menangguhkan perbicaraan ke tarikh selanjutnya iaitu pada 07.04.2025 dan 08.04.2025 bagi perbicaraan peringkat kes defendan-defendan. – UMNO Online