Nik Faisal Bukan Proksi Najib, Kenyataan Saksi SRC Berkenaan “Blank Cheques” Tidak Konsisten
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) terhadap Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor (UMNO Selangor) diteruskan pada hari ini dengan bekas pengarah Plaintif-plaintif, Datuk Suboh bin Md Yassin iaitu saksi kedua Plaintif-plaintif.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam UMNO, Shahrul Fazli Kamarulzaman, saksi SRC Datuk Suboh mengesahkan bahawa beliau menghormati protokol dan hierarki di dalam SRC di mana Nik Faisal yang berurusan dengan Datuk Seri Najib atas kapasiti beliau sebagai CEO dan Pengarah Urusan SRC dan oleh kerana itu, Nik Faisal sering berjumpa dengan Datuk Seri Najib.
Atas alasan yang sama, saksi SRC Datuk Suboh juga bersetuju dan mengesahkan bahawa Nik Faisal tidak boleh dianggap sebagai proksi kepada Datuk Seri Najib kerana beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai CEO dan Pengarah Urusan kepada SRC.
Sementara itu saksi SRC, Datuk Suboh juga pada hari ini menafikan sebarang kemungkiran tanggungjawab dan pemecahan amanah oleh beliau terhadap SRC.
Semasa disoal balas oleh peguam UMNO, Shahrul Fazli, beliau bersetuju dan mengesahkan bahawa selaku pengarah kepada SRC, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya kepada syarikat secara suci hati dan demi kepentingan syarikat.
Saksi SRC Datuk Suboh di dalam kenyataannya kepada Mahkamah semalam memaklumkan bahawa cek syarikat yang diberikan kepadanya untuk ditandatangani adalah kosong dan telah ditandatangani terlebih dahulu oleh Nik Faisal.
Semasa pemeriksaan balas pada hari ini, saksi SRC Datuk Suboh turut mengesahkan bahawa beliau tahu tujuan dan penerima cek-cek berkenaan kerana beliau telah dimaklumkan terlebih dahulu oleh Nik Faisal.
Pada masa yang sama Saksi SRC Datuk Suboh juga semasa pemeriksaan balas oleh Peguam UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua mengesahkan bahawa semua transaksi termasuk pengisuan cek-cek kepada UMNO dan UMNO Selangor adalah dibuat secara suci hati dan selari dengan tanggungjawab fidusiari beliau.
Walaubagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh peguam SRC, Razlan Hadri, saksi SRC Datuk Suboh kemudiannya mengatakan bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan oleh Nik Faisal tentang penerima-penerima cek-cek berkenaan.
Peguam UMNO, Shahrul Fazli kemudiannya bangun dan membantah keterangan yang diberikan oleh Datuk Suboh ini kerana ianya bercanggah dengan kenyataan awal beliau semasa pemeriksaan balas.
Saksi SRC Datuk Suboh telah selesai memberi keterangan pada hari ini. Saksi SRC seterusnya adalah bekas pengarah IPSB iaitu syarikat yang dilantik sebagai rakan kongsi CSR SRC dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Dato’ Ibrahim bin Ali.
Perbicaraan tindakan tuntutan ini dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah bin Raja Mohzan ditangguhkan ke tarikh selanjutnya, Jumaat untuk saksi-saksi SRC seterusnya. – UMNO Online