Malaysia Tegas Segerakan Usaha Hentikan Penindasan Rakyat Palestin – Zambry

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Malaysia dengan tegas untuk menyegerakan segala usaha yang boleh menghentikan penganiayaan dan penindasan terhadap rakyat Palestin, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri mesyuarat Informal Gathering of World Economic Leaders (IGWEL) : Delivering Stability and Security in The Middle East di Switzerland.

“Pelbagai mesyuarat dan pertemuan telah diadakan sepanjang Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 kali ini. Adakala mesyuarat dan pertemuan ini bertindih antara satu sama lain.

“Saya telah diminta untuk mewakili YAB Perdana Menteri bagi menghadiri beberapa mesyuarat di sini. Antaranya ialah IGWEL : Delivering Stability and Security in The Middle East.

“Malaysia dengan tegas untuk menyegerakan segala usaha yang boleh menghentikan penganiayaan, penindasan kepada rakyat Palestin. Walaupun gencatan senjata berlaku di Gaza namun menjadi kebimbangan pemimpin yang hadir ialah keadaan di kawasan Tebing Barat (West Bank) yang semakin memuncak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, sesuatu perlu segera dilakukan untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah melibatkan orang awam yang tidak bersalah.

“Sesuatu perlu segera dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa yang tidak bersalah terkorban.

“Begitu juga dengan isu yang berlaku di Syria. Segala pembangunan semula negara tersebut perlu diberi sokongan agar rakyat di sana dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa isu Myanmar menjadi keutamaan untuk diselesaikan memandangkan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 ini.

“Saya juga turut diminta mewakili Perdana Menteri dalam Diplomacy Dialogue on Myanmar di WEF ini. Pastinya Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025, isu Myanmar ini menjadi antara keutamaan untuk kita dalam Gagasan ASEAN segera bantu selesaikan.

“Perbincangan lanjut akan diangkat pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan dengan pelantikan terbaru Tan Sri Othman Hashim, sebagai Utusan Khas ASEAN ke Myanmar, diharap membantu mencari penyelesaian kekal terhadap krisis di Myanmar.

“Kita juga menggesa Myanmar memenuhi tanggungjawabnya sebagai anggota pertubuhan itu dan mematuhi Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui,” katanya lagi.

Pada 19 Januari media melaporkan  Israel mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas bermula di Gaza pada jam 9.15 pagi Ahad waktu GMT (5.15 petang waktu Malaysia).

Ia hampir tiga jam lewat daripada masa asal yang dijadualkan, susulan penangguhan saat akhir diumumkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Namun pada 22 Januari, pasukan keselamatan Israel telah menyerbu bandar Jenin di Tebing Barat, membunuh sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin.

Benjamin menyifatkannya sebagai operasi ketenteraan berskala besar lagi penting dan mengumumkan ia adalah serangan baharu terhadap kumpulan yang disokong Iran.

Tindakan itu dilancarkan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan beliau menarik balik sekatan ke atas peneroka ultranasionalis Israel yang menyerang perkampungan Palestin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit