Jeffery Nor Hargai Kehadiran Khaled Nordin, Suntik Semangat UMNO Sabah Hadapi PRN

KOTA KINABALU, 23 Jan – Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed, melahirkan rasa syukur dan menghargai kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin ke Sabah semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, kehadiran tersebut memberi suntikan semangat baharu kepada seluruh jentera UMNO Sabah, khususnya di bahagian terbabit.

“Ini adalah sokongan moral kepada kami bagi memperkukuhkan lagi keyakinan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke- 17 dengan strategi yang mantap,” kata Jeffery Nor kepada UMNO Online.

Terdahulu, Khaled yang juga Menteri Pertahanan berada di Sabah dalam rangka lawatan kerja di Kem Lok Kawi. Seusai itu Khaled mengunjungi Pejabat UMNO Bahagian Putatan.

Ujar Jeffery Nor, lawatan ini menjadi kesempatan untuk membentangkan laporan semasa gerak kerja UMNO Putatan dalam menghadapi PRN ke-17 yang semakin hampir.

“Selain itu, dalam sesi pertemuan tersebut, isu-isu berkaitan pembangunan kawasan, penyelarasan jentera pilihan raya, dan strategi menangani cabaran politik semasa turut dibincangkan secara mendalam.

“Antara isu utama yang mendapat perhatian adalah keperluan meningkatkan kempen mendekati pengundi muda, penglibatan lebih aktif sayap-sayap parti, dan strategi menangkis dakyah pihak lawan.

“Kami berharap lawatan dan nasihat Datuk Seri Khaled akan menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar dalam PRN 17. Kami berjanji akan bekerja keras memastikan UMNO Sabah terus relevan dan menjadi pilihan utama rakyat,” tambah Jeffery Nor lagi.

Dalam masa yang sama, Jeffery Nor mengucapkan terima kasih juga dengan kehadiran Ketua-ketua UMNO Bahagian dari Beaufort, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kalabakan, dan Kota Belud yang membuktikan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan anggota UMNO Sabah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit