IslamiCruise Malaysia-Saudia: Kukuhkan Kedudukan Negara Sebagai Pelancongan Islamik Bertaraf Dunia
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan pelancaran Majlis Pelancaran IslamiCruise Malaysia-Saudia.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ia sebagai pencapaian besar dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan Islamik global.
“Pelancaran ini membuktikan bahawa cabaran yang pernah saya lontarkan kini berjaya direalisasikan.
“Insya-Allah kejayaan ini pastinya akan membuka peluang besar kepada pelbagai pihak untuk menjana pertumbuhan ekonomi serta membawa pelancongan Islam Malaysia ke peringkat global,” katamya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut sama memaklumkan bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan memperkenalkan keindahan Malaysia kepada dunia tetapi turut memberi impak besar dalam menarik pelancong Muslim dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara.
“Saya mendoakan agar IslamiCruise terus melakar sejarah dan menjadi pemacu kepada pelancongan Islamik moden. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online