Harga Ayam Mahal: Keluhan Akar Umbi Rakyat Sabah Perlu Ditangani Segera – Awang Aslee

KOTA KINABALU, 23 Jan – Isu kenaikan harga ayam yang membebankan rakyat Sabah kini menjadi tumpuan utama Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, yang menganggap masalah ini mencerminkan keluhan rakyat di peringkat akar umbi.

Pengerusinya, Datuk Awang Aslee Lakat, menyatakan bahawa isu harga ayam mahal bukan sahaja masalah baharu tetapi juga mencerminkan cabaran yang dihadapi rakyat dalam mengharungi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“UMNO Sabah menyedari bahawa harga ayam serta barangan keperluan lain adalah antara keluhan utama rakyat di peringkat akar umbi. Masalah ini memerlukan pendekatan yang bijak dan menyeluruh untuk memastikan rakyat tidak terus terbeban, khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Sehubungan itu, maklumnya, Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah akan melaksanakan saranan Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, untuk mengemukakan memorandum rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Awang Aslee yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort turut menegaskan bahawa pihaknya akan turun padang untuk bertemu dengan peniaga, pemborong, dan penternak bagi mengenal pasti punca utama kenaikan harga ayam di Sabah, malah kajian juga akan dilakukan terhadap jurang harga barangan keperluan lain yang ketara berbanding di Semenanjung.

“Kami mahu memastikan isu ini ditangani secara serius dengan melibatkan semua pihak, termasuk KPDN dan agensi berkaitan, agar penyelesaian yang holistik dapat dicapai. Kerajaan perlu bertindak segera kerana jurang harga ini tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan.”

Menurut Awang Aslee, usaha ini penting kerana ramai rakyat Sabah kini bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka, maka langkah proaktif diperlukan untuk memastikan keadilan harga barangan dan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.

“Rakyat Sabah mengharapkan perhatian serius daripada kerajaan dalam menangani isu harga ayam dan barangan keperluan lain. Kesedaran terhadap keluhan akar umbi ini adalah langkah awal untuk memperbaiki keadaan dan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit