Veteran UMNO Percaya Najib Akan Dapat Keadilan Sewajarnya
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Pengerusi Veteran UMNO , Datuk Othman Desa, percaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan mendapat keadilan yang sewajarnya.
Dalam hal ini beliau menyatakan sokongan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru agar pengampunan penuh diberikan kepada Najib kerana tindakan tersebut merupakan langkah wajar demi menghargai jasa dan sumbangan Najib kepada negara.
“Veteran UMNO merasakan pandangan yang diberikan oleh Presiden UMNO adalah satu tindakan yang baik. Permohonan pengampunan penuh terhadap ‘bossku’ adalah harapan ramai.
“… dan mengharapkan Yang di Pertuan Agung (YDPA) dan Lembaga Pengampunan akan mempertimbangkan permohonan ini dengan sebaik-baiknya.
“Kita semua sayang dan mendoakan agar Najib Razak mendapat pertimbangan baik yang akan diberikan oleh YDPA dan Majlis Pengampunan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International, namun gesaan untuk pengampunan penuh terus disuarakan oleh pelbagai pihak termasuk UMNO.
Pada masa yang sama Othman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan titah adendum tersebut berkait rapat dengan perbicaraan yang sedang berlangsung, dan hanya mahkamah yang berhak menentukan keadilan dalam kes ini.
“Mahkamah yang akan menentukan perkara ini, dan kita percaya Najib Razak akan mendapat keadilan yang sewajarnya. Kita boleh memberikan pandangan, tetapi keputusan muktamad terletak pada mahkamah.
“Kita faham dan akur dengan proses ini. Apa yang penting, kita berharap agar peguam-peguam Datuk Seri Najib dan pihak mahkamah akan memutuskan keputusan yang terbaik. Sama ada titah adendum ini akan dipakai atau tidak, ia adalah prerogatif mahkamah untuk menentukannya,” tambahnya.
Isu titah adendum yang dibangkitkan ini telah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan pemerhati politik dan rakyat.
Kes ini terus menjadi perhatian ramai kerana ia melibatkan tokoh politik terkemuka negara serta persoalan tentang pelaksanaan undang-undang dan keadilan di Malaysia. – UMNO Online