UMNO Komited Bersama Rakyat, Santuni Akar Umbi Perkukuh Perjuangan – Norshida

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, menegaskan komitmen parti dalam melaksanakan gerak kerja secara lebih menyeluruh untuk mendekati rakyat.

Beliau menekankan bahawa UMNO terus relevan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat, terutama di peringkat akar umbi.

“Kita sentiasa turun padang untuk memahami isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat, saling berziarah dan menyelami permasalahan yang ada. Pendekatan ini penting malah telah sebati dengan UMNO yang sentiasa komited menawarkan penyelesaian realistik dan berkesan,” katanya

Menurut Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, gerak kerja secara turun padang ini bukan sahaja melibatkan pertemuan dengan rakyat, tetapi juga mendengar rintihan dan cadangan mereka untuk membangunkan komuniti setempat.

“Kami mahu memastikan bahawa setiap usaha yang dilakukan adalah berpaksikan kepada keperluan rakyat. Sebagai contoh, isu-isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi keutamaan agar rakyat mendapat keselesaan,” ujarnya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Norshida turut menyeru seluruh ahli parti agar terus bersatu padu dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan parti.

“Kita perlu memastikan bahawa perjuangan UMNO untuk rakyat tidak terhenti. Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat.”

Terdahulu beliau telah menziarah masyarakat setempat khususnya golongan yang uzur dan memerlukan perhatian.

“Program ziarah dan menyantuni ini adalah antara kesungguhan kita dalam memperkukuh hubungan dengan rakyat di peringkat akar umbi. Kita mahukan komuniti yang saling mengambil berat dan saling memberi sokongan.”

Norshida turut menyatakan bahawa UMNO akan terus memainkan peranan proaktif dalam menyuarakan isu-isu rakyat di peringkat negeri dan nasional.

“Dengan sokongan dan dukungan daripada semua pihak, kita yakin bahawa UMNO mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat serta memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit