UMNO Beaufort Komited Perjuangkan Kebajikan Rakyat Dan Perpaduan Nasional

BEAUFORT, 22 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan komitmen parti untuk terus memperjuangkan keharmonian antara kaum serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan terbabit.

Beliau menekankan pentingnya perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk.

“Walaupun UMNO memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat Bumiputera, parti ini tetap mendokong kerjasama dengan parti-parti lain yang sehaluan mahu bekerjasama dalam konsep ‘win-win situation’.

“Kami sentiasa konsisten dan tidak akan berputus asa dalam memperjuangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), meskipun berdepan pelbagai cabaran. Program serta aktiviti yang relevan di DUN Kuala Penyu dan DUN Klias akan terus digerakkan bagi memperbaiki kehidupan rakyat serta membawa perubahan positif di Parlimen Beaufort,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik UMNO Beaufort, semalam.

Awang Aslee turut menjelaskan bahawa UMNO Beaufort sentiasa berusaha menyelesaikan isu rakyat, memastikan keadilan sosial, dan meningkatkan kualiti hidup.

Ujarnya, salah satu inisiatif utama ialah memperjuangkan bantuan perumahan rakyat termiskin (PPRT) untuk binaan baru atau pembaikan rumah mengikut kelayakan.

Beliau mendedahkan bahawa pada tahun 2024 sahaja, lebih daripada 50 unit rumah PPRT telah berjaya dibina atau dibaik pulih di kawasan Beaufort.

“Kami merakamkan ribuan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), atas keprihatinan dan sokongan beliau terhadap usaha ini,” katanya.

Dengan usaha yang berterusan, UMNO Beaufort berharap dapat memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu terus terpelihara dan pembangunan masyarakat dapat dicapai secara menyeluruh.

Dalam hal lain, Awang Aslee turut menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Yang Teramat Mulia Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ahli-ahli dan penyokong UMNO Beaufort mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Musa Aman atas pelantikan ini, serta berbangga kerana seorang pemimpin UMNO yang berasal dari Beaufort telah menerima amanah tersebut.”

Selain itu, ujarnya, UMNO Beaufort juga menyokong sepenuhnya keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) bagi memohon ehsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini selaras dengan kuasa yang termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Dengan sokongan terhadap kedua-dua perkara ini, UMNO Beaufort menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan keutuhan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit