Teknologi, Pendigitalan Dan AI Perlu Diterapkan Dalam Gerak Kerja Semua Perancangan Dasar – Azalina

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Menteri Undang-undang Dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan teknologi, pendigitalan dan khususnya Kecerdasan Buatan (AI) perlu diterapkan dalam gerak kerja dan semua perancangan dasar.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata ia penting bagi memastikan pelaksanaannya relevan dengan kehendak masa kini dan hadapan, memastikan segmen perundangan dan institusi penting negara seiring perkembangan teknologi global.

Beliau berkata demikian ketika tinjauannya ke jabatan, agensi dan organisasi di bawah seliaan portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi termasuk ke Bahagian Perlindungan dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP).

Tinjauan itu dilakukan Azalina bagi melihat sendiri perjalanan operasi dan juga bagi bertukar-tukar pandangan dalam usaha merancakkan agenda reformasi perundangan dan institusi yang sedang berjalan.

“Dalam kedua-dua lawatan tersebut, saya telah berkesempatan untuk menyampaikan ucapan penghargaan kepada warga jabatan dan agensi atas segala pencapaian yang telah berjaya dilakar pada 2024 dan harapan saya adalah pencapaian tersebut dijadikan semangat untuk bekerja lebih keras tahun ini.

“Dalam amanat ringkas tersebut, saya turut keutamaan aspek teknologi, pendigitalan dan khusunya AI untuk diterapkan dalam gerak kerja dan semua perancangan dasar dan program yang akan dilaksanakan ke depan ini bagi memastikan segmen perundangan dan institusi penting negara seiring perkembangan teknologi global,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook

Turut hadir Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) Datuk Zamri Misman yang turut bersama dalam lawatan kerja menyantuni jabatan dan agensi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit