Pas Hanya Ambil Kesempatan Atas Isu Titah Adendum – Ahmad Zaki Shah
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Pas hanya mengambil kesempatan di atas isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan.
Jelasnya, keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu telah berpihak kepada Najib dan ia mengesahkan bahawa Titah Adendum tersebut wujud.
“Apa yang saya lihat dari kes Datuk Seri Najib di Mahkamah Rayuan ini adalah permohonan untuk semakan kehakiman. Di Mahkamah Tinggi, permohonan Datuk Seri Najib ini telah ditolak maka disebabkan itu, Datuk Seri Najib buat rayuan.
“Keputusan berpihak kepada Datuk Seri Najib disebabkan Titah Adendum itu sebenarnya wujud. Sekarang ini persoalannya di Mahkamah Tinggi, apabila kes ini didengar semula, adakah ia akan memihak kepada Datuk Seri Najib ataupun tidak.
“Perkara yang berlaku ini sebenarnya tidak pernah terjadi sebelum ini ia akan memberi kesan dalam mengesahkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana kes ini akan didengar semula di Mahkamah Tinggi nanti,” katanya kepada UMNO Online.
Tegasnya, Pas terbukti ‘menangguk di air yang keruh’ apabila mereka berusaha untuk menunjukkan solidariti terhadap Najib sedangkan ketika menjadi kerajaan, tiada sebarang usaha untuk membantu mantan Perdana Menteri itu.
“Itu yang kita kata, it goes without saying. Kita pun dapat lihat ada kenyataan daripada salah seorang pemimpin besar Pas. Dia cakap, selagi you boleh ride, you ride.
“Bagi saya, Pas ini hanya ‘menangguk di air yang keruh’. Mereka hanya mengambil kesempatan. Mereka datang ke perhimpunan itu pun bukan dengan keikhlasan. Saya rasa kita tidak perlu nak mempersoalkan apa-apa lagi sebab dah tahu perangai mereka macam mana.
“Kalau mereka nak bersolidariti, mereka boleh buat semasa menjadi kerajaan dahulu. Ini tidak, mereka turut menggunakan isu Datuk Seri Najib untuk memburukkan UMNO. Mereka jugalah dalang kepada pemenjaraan Datuk Seri Najib. Kenapa sekarang baru nak bersolidariti?” soalnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan sokongan kepada perjuangan untuk membebaskan Datuk Seri Najib dan berharap agar para penyokong terus berdiri teguh dalam perjalanan tersebut.
“Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri yang disayangi dan bekas Presiden kita. Trek rekod beliau mentadbir negara telah terbukti. Saya percaya sekarang ini ramai yang cakap rindu zaman Datuk Seri Najib.
“Banyak dugaan yang dilalui beliau. Tetapi bagi kami, terutamanya Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang… kami akan terus menyokong perjalanan ini dan Datuk Seri Najib, you have to know that you are not alone,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Pas tetap meneruskan penyertaannya dalam Himpunan Solidariti Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari lalu biarpun titah Seri Paduka Baginda agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Dalam hal ini, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan sebagaimana tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.
Terdahulu media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman