Mohamed Khaled Seru Ahli, Pemimpin Berpadu Agar UMNO Mampu Bangkit Semula
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru seluruh ahli dan pemimpin untuk bersatu padu sebagai satu kekuatan agar parti mampu bangkit semula dalam menempa kejayaan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah mengadakan pertemuan bersama para pemimpin Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu pada Selasa.
“Mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Pejabat UMNO Bahagian Besut.
“Alhamdulillah, ruang pertemuan yang ada saya gunakan untuk menyampaikan beberapa perkara, seterusnya meneliti kedudukan dan kemajuan parti, lebih-lebih lagi dalam mendepani pilihan raya akan datang,” katanya.
Menurutnya, terdapat pelbagai perkara yang telah dibincangkan semasa pertemuan tersebut termasuklah cadangan meningkatkan had umur Pergerakan Puteri UMNO ke 40 tahun.
“Selain isu-isu semasa yang melibatkan parti, turut dibincangkan adalah cadangan berkaitan meningkatkan had umur Pergerakan Puteri UMNO dan kaedah pemilihan pucuk pimpinan UMNO. Kedua-dua cadangan ini bertujuan untuk memperkukuhkan struktur parti.
“Dalam pada itu, saya menyeru agar semua ahli UMNO untuk terus bersatu padu, bekerjasama dan bergandingan sebagai satu kekuatan agar parti kita mampu bangkit semula dan menempa kejayaan dalam perjuangan. Insya-Allah,” katanya.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat, Timbaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Mohd Pehimi Yusof dan seluruh pemimpin empat peringkat. – UMNO Online