Membina Usahawan Masa Depan Bersama KKDW, Pemangkin Pembangunan Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 2024 yang dianjurkan malam tadi bukti komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam melahirkan usahawan desa yang berdaya saing.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata ia sekaligus sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.
“Seramai 45 finalis telah dipilih dan kesemua mereka telah menerima geran perniagaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15 juta!
“Tahniah saya ucapkan kepada Pengiran Muhammad ‘Adil daripada PMA Rich (M) Sdn Bhd dengan perniagaan Aiskrim Gula Apong dan Aneka Minuman yang telah berjaya memenangi anugerah utama berupa geran sebanyak RM1 juta!,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid dalam pada itu turut sama mengucapkan tahniah kepada kesemua finalis atas usaha gigih dan kejayaan yang dicapai.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berharap kejayaan ini akan terus memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan desa di luar sana untuk terus berinovasi dan melakar kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. – UMNO Online